KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan prosiding jatuh hukum terhadap seorang lelaki yang mengaku bersalah membunuh ibu dan bapanya dalam kejadian tragis di Kampung Sungai Penchala, pada 9 Disember 2023.
Hakim K. Muniandy menetapkan tarikh baharu iaitu pada Jumaat ini bagi pembentangan fakta kes dan jatuh hukum terhadap Afendi Muhammad Agus @ Muhamed Ali Omar yang berusia 44 tahun.
Penangguhan tersebut dibuat selepas barang kes fizikal seperti pisau, mata pisau dan pakaian tidak dapat dikemukakan di mahkamah semasa prosiding hari ini.
Sebelum ini, Afendi telah mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh ibu bapanya, Muhammad Agus @ Muhamed Ali Omar, 82, dan Darlisma Njatu Saleh, 72, di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, Brickfields, pada pukul 7.10 malam dan 7.20 malam.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan jika tidak dikenakan hukuman mati.
Sementara itu, laporan psikiatri forensik Hospital Bahagia Hulu Kinta, Perak yang dikemukakan pihak pendakwaan hari ini mengesahkan tertuduh berada dalam keadaan waras ketika kejadian dan layak menghadapi pendakwaan di mahkamah.
Laporan bertarikh 7 Februari lalu itu disediakan oleh pakar psikiatri (Forensik), Dr. Allan Sia Ting Chan yang menyatakan Afendi sedar akan sifat dan akibat perbuatannya serta mengetahui tindakan itu salah di sisi undang-undang.
Afendi telah dirujuk ke hospital berkenaan pada 28 November 2024 dan menjalani pemerhatian psikiatri selama 24 jam mengikut Seksyen 342(3) Kanun Prosedur Jenayah.
“Keadaan mentalnya stabil pada tarikh laporan ditulis. Dia layak dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan serta mampu membela diri,” menurut laporan itu.
Laporan tersebut juga menyatakan Afendi tidak mengalami gejala halusinasi, delusi, kemurungan atau intoksikasi dadah ketika kejadian serta fungsi kognitifnya juga adalah normal.
Semasa pemerhatian, Afendi memberikan kerjasama yang baik, percakapannya relevan dengan soalan yang dikemukakan, tidak menunjukkan kelakuan agresif atau kecenderungan membunuh diri serta boleh menjalani aktiviti harian secara berdikari.
Peguambela, Mohd. Ruzaini Zulkifli yang mewakili tertuduh turut mengesahkan menerima laporan mental berkenaan dan memaklumkan kepada mahkamah agar pengakuan bersalah anak guamnya diteruskan.
Pada 27 November 2024, Hakim Muniandy memerintahkan Afendi menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta bagi memastikan pengakuan bersalah yang dibuat pada 6 September tahun lalu dilakukan dalam keadaan waras dan sukarela.
Sebelum ini media melaporkan pasangan warga emas itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumah mereka dengan beberapa kesan tikaman selepas berlaku pergaduhan antara suspek dan ibu bapanya. – MalaysiaGazette