PETALING JAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak perlu menjadi seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mencetuskan api kemarahan sesama sendiri di media sosial.
Exco Armada Bersatu Malaysia (Armada), Na’im Brundage berkata, tindakan itu adalah tidak wajar dan boleh mencetuskan perbalahan dalaman yang sepatutnya boleh dielakkan ahli parti.
“Saya sendiri daripada parti PKR dan antara salah satu sebab saya keluar (PKR) adalah kerana banyak perkara begitu, tiada disiplin dalam parti mahupun pentadbiran dan saya harap perkara yang sama tidak akan berlaku dalam Bersatu.
“Saya pasti (Bersatu) mempunyai mekanisme tersendiri untuk atasi cabaran seperti ini, seleoknya kepimpimpinan parti gunakan saluran yang betul bagi menyuarakan pandangan atau maklum balas,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Bersatu di sini hari ini.
Terdahulu Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad mempersoalkan program jelajah Bersatu ke negeri-negeri yang tidak menjemput timbalan presiden dan naib presiden parti berkenaan.
Malah Ahli Parlimen Machang itu menerusi hantaran di Facebooknya mendakwa, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) (Bersatu) tidak dimaklumkan mengenai program tersebut.
Mengulasi mengenai perkara itu, Na’im yang juga merupakan bekas ahli PKR berkata, dia tidak pasti kenyataan tersebut ditujukan kepada pihak yang mana.
“Bagi saya, kenyataan itu sangat bersifat samar dan tidak jelas. Saya tidak pasti ia ditujukan kepada siapa tetapi perkara seperti ini.
“Ia seharusnya dibincangkan secara dalaman dan bukan di Facebook. Kita tidak mahu jadi seperti parti lawan yang sering bergaduh sesama sendiri di media massa,” ujarnya.
Untuk makluman, Bersatu telah memulakan misi jelajah ke negeri-negeri yang bakal berdepan pilihan raya negeri (PRN) pada awal tahun ini
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, misi jelajah akan menjadi medium bagi parti itu mendengar taklimat awal berkaitan persiapan PRN yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.
Menurutnya, Bersatu juga telah mulakan gerak kerja bagi memantapkan lagi barisan kepimpinan selain penambahan ahli dengan menubuhkan cawangan-cawangan baharu di setiap pusat daerah mengundi (PDM). – MalaysiaGazette