Penduduk menunjukkan sistem gelong hos yang tidak berfungsi kira-kira tiga bulan lalu

MELAKA – Kerajaan mengakui berlaku kerosakan pada sistem pam air di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong sehingga menjejaskan bekalan air pili bomba ke tingkat  dan mengorbankan nyawa kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dalam kebakaran, Jumaat lalu.

Jurucakap Lembaga Perumahan Melaka berkata, kerosakan itu dikesan berlaku sejak kira-kira tiga bulan lalu yang dianggarkan memerlukan kos pembaikan sebanyak RM200,000.

Menurutnya, permohonan peruntukan bagi kerja-kerja pembaikan juga telah dikemukakan kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Sepatutnya, kerja pembaikan dibuat pada Jun ini sebaik sahaja peruntukan diperolehi dan tidak menyangka tragedi menyayat hati berlaku sebelum sempat kami membaikinya.

“Bagaimanapun LPM akan menggunakan peruntukan dalaman bagi menyegerakan pembaikan demi keselamatan penduduk sekali gus mengelak kejadian daripada berulang,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan penduduk peralatan keselamatan kebakaran yang tidak berfungsi, tegasnya siasatan dalaman yang dilakukan mendapati alat pemadam api berada dalam keadaan baik ketika pemeriksaan berkala.

Media hari ini melaporkan beberapa penduduk di PPR Krubong mendakwa alat pemadam api dan sistem gelong hos di Blok A tidak berfungsi dalam kebakaran kira-kira jam 2.20 petang Jumaat lalu.

Tragedi itu meragut nyawa seorang kanak-kanak lelaki, Muhammad Afizul Hakim Alias, 4, yang ditemukan meninggal dunia dalam bilik ketiga unit rumah di tingkat enam PPR berkenaan.

Mangsa dipercayai terperangkap dalam bilik tidur ketika api marak dan melecur manakala ibu dan empat adik beradiknya yang lain sempat lari menyelamatkan diri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here