JOHOR BAHRU – Keengganan dua beradik tidak mahu lagi naik van sekolah ke sekolah mereka di Permas Jaya, di sini, membongkar perbuatan terkutuk pemandu van yang mencabul kedua-dua kanak-kanak perempuan berkenaan.
Difahamkan kanak-kanak itu sudah beberapa kali menjadi sasaran pemandu van sekolah tersebut yang melakukan perbuatan menyentuh kemaluan mangsa berusia lapan dan sembilan tahun ketika menghantarnya ke sekolah.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat Ibu mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan pada pukul 11.15 pagi semalam.
“Susulan laporan itu, pihaknya telah membuat tangkapan terhadap seorang pemandu van sekolah lelaki berusia 42 tahun di rumahnya di kawasan Plentong, pada pukul 9.50 malam tadi.
“Hasil siasatan mendapati suspek melakukan amang seksual terhadap dua beradik itu di dalam van sekolah di tepi Jalan Permas 1/1, Khamis lalu.
“Suspek yang sudah berkahwin itu dipercayai melakukan perbuatan tersebut beberapa kali terhadap mangsa dengan menyentuh bahagian kemaluan kanak-kanak tersebut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Raub berkata, siasatan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan ujian saringan urin juga adalah negatif.
Tambahnya, pemeriksaan perubatan yang dibuat terhadap mangsa mengesahkan tiada kecederaan fizikal.
Pada pagi tadi, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret untuk dipohon reman bagi menjalankan siasatan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah, Muhammad Fitri Mokhtar mengeluarkan perintah reman terhadap tertuduh selama seminggu bermula hari ini hingga Isnin ini.- MalaysiaGazette