ISKANDAR PUTERI – Pelabur asing di Zon Ekonomi Khas Johor Selatan (JS-SEZ) menetapkan dua syarat utama menawarkan gaji premium kepada tenaga kerja tempatan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelabur akan bersetuju jika produktiviti tenaga kerja dan kemahiran teknikal seiring dan sesuai dengan kadar gaji ditawarkan.
“Isu tangga gaji dan peluang pekerjaan menjadi antara soalan utama, ketika sesi libat urus antara Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) dan Majlis Pembangunan Bakat Johor atau Johor Talent Development Council (JTDC) dengan semua pelabur di negeri ini.
“Di peringkat Persekutuan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mereka menetapkan syarat dan mengekalkan komposisi tenaga kerja dalam sektor pembuatan iaitu 80 peratus pekerja tempatan dan 20 peratus pekerja asing.
“Di peringkat negeri pula, melalui IMSC-J dan JTDC antara perkara utama yang dibincangkan adalah kita menggalakkan keperluan menetapkan gaji minimum untuk pemegang diploma sekitar RM3,500 ke atas. Bagi pemegang ijazah pula mesti memperolehi gaji RM4,000 ke atas.
“Syukur Alhamdulillah saya ingin maklumkan bahawa majoriti pelabur yang memilih untuk melabur di Johor menyatakan persetujuan terhadap hasrat ini.
“Kerajaan Negeri, melalui kerjasama strategik antara Johor Skills dan universiti-universiti tempatan, berusaha memastikan bahawa apa yang diperlukan dan sama dengan apa yang dapat kita ditawarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam mesyuarat pertama penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke 15 di Bangunan Sulatan Ismail, di sini, hari ini.
Onn Hafiz (BN- Machap) menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Ngeri (ADUN) Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan (BN) yang bertanya apakah kerajaan negeri Johor telah menetapkan syarat kepada pelabur luar berkenaan pengambilan pekerja tempatan dan penetapan tangga gaji yang setara atau hampir setara dengan Singapura.
Menteri Besar Johor berkata, sebagai contoh, semalam pihaknya telah bertemu dengan wakil sebuah syarikat dari China.
Katanya, syarikat tersebut pada fasa pertama telah melabur sebanyak RM500 juta di Johor, dan pelaburan ini dijangka mencecah sehingga RM3 bilion dalam beberapa fasa seterusnya.
“Mereka (syarikat pelabur dari China) menyatakan komitmen untuk mendapatkan tenaga kerja mahir tempatan dan kita akan salurkan.
“Mereka juga bersetuju menubuhkan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dengan kerjasama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Malah kilang yang bakal dibangunkan juga akan dipenuhi oleh anak muda Johor yang berkelayakan.
“Ini merupakan antara usaha berterusan kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan ekonomi Johor turut memberi manfaat langsung kepada rakyat, terutamanya dari segi peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada anak-anak tempatan,”katanya.- MalaysiaGazette