Antara suspek yang dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi

KUALA LUMPUR – Enam individu termasuk dua penjawat awam berjawatan pengarah bergelar Datuk serta seorang jurutera sebuah jabatan di ibu negara direman bagi membantu siasatan kes rasuah bernilai ratusan ribu ringgit membabitkan tawaran kerja kontrak pembangunan dan senggaraan dari 2021 hingga kini.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Irza Zulaikha membenarkan lima suspek direman lima hari sehingga 24 Mei ini manakala seorang lagi direman tiga hari sehingga Khamis.

Menurut sumber, suspek yang terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an telah ditahan kira-kira jam 5.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

“Dua suspek utama berjawatan pengarah serta jurutera di sebuah jabatan kerajaan di ibu negara dipercayai telah meminta dan menerima rasuah daripada kontraktor-kontraktor yang ditawarkan kerja kontrak pembangunan dan senggaraan di bawah seliaannya antara 2021 hingga kini.

“Turut ditahan adalah pasangan suami isteri bersama bapanya seorang pemilik syarikat yang bergelar Datuk dan seorang kontraktor kerana disyaki bertindak sebagai orang tengah dalam mendapatkan rasuah daripada kalangan kontraktor,” katanya.

Sumber berkata, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek utama menerima kira-kira RM115,000 daripada orang tengah dalam bentuk wang tunai, pembiayaan ubah suai rumah dan pemberian telefon bimbit.

Katanya, menerusi Op Kepala yang dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM di 10 buah premis di sekitar Lembah Klang dan Johor semalam, SPRM telah menyita dua unit kenderaan jenis Toyota Hilux, wang tunai kira-kira RM165,000 selain membekukan 95 akaun perbankan yang terdiri daripada akaun individu dan akaun syarikat melibatkan jumlah kira-kira RM6 juta.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here