KUALA LUMPUR – Parents For Safer School, sebuah jawatankuasa yang mewakili ibu bapa pelajar The International School @ ParkCity (ISP) membantah projek pembinaan sebuah menara komersial setinggi 46 tingkat yang terletak hanya lapan meter dari kawasan sekolah rendah tersebut.
Jurucakap jawatankuasa, Liz Wong dan Ema Shazneen yang bimbang dengan keselamatan murid-murid di sekolah itu turut menyifatkan kelulusan projek berkenaan sebagai satu tindakan cuai dan tidak bertanggung jawab.
Mereka turut mempersoalkan bagaimana projek pembinaan sebesar itu boleh diluluskan begitu hampir dengan sekolah yang menempatkan kanak-kanak seawal lima tahun.
Katanya, kerja-kerja penggalian sudah bermula sehingga menyebabkan suasana pembelajaran terganggu dengan bunyi bising dan habuk ditambah pergerakan kenderaan berat yang mengancam keselamatan pelajar dan pejalan kaki.
Liz dan Ema menambah, lebih membimbangkan, apabila siap kelak, bangunan pencakar langit itu bakal menghadap secara langsung ke arah bilik darjah, taman permainan dan ruang terbuka sekolah, sekali gus mencetuskan isu serius berkaitan pencerobohan privasi.
“Kesan pembangunan itu bukan sahaja fizikal tetapi juga emosi dan psikologi, terutama apabila kanak-kanak didedahkan kepada persekitaran yang bising, tercemar dan tidak selamat.
“Tambah memburukkan keadaan, projek tersebut dirancang dengan lebih 800 petak parkir yang dijangka memburukkan lagi kesesakan lalu lintas sedia ada di kawasan Desa ParkCity, khususnya pada waktu puncak ketika ibu bapa menghantar dan mengambil anak-anak mereka dari sekolah,” katanya kepada MalaysiaGazette dalam kenyataan hari ini.

Liz dan Ema berkata, usaha untuk mendapatkan penjelasan dan mengadakan perbincangan dengan pihak pemaju, pihak sekolah serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah dijalankan sejak beberapa bulan lalu namun setakat ini respons diterima amat mengecewakan.
Malah, mereka mendakwa, wakil komuniti telah menerima surat tuntutan undang-undang yang berunsur intimidasi, bukannya jemputan untuk berdialog secara terbuka.
“Bagi pihak jawatankuasa, tindakan itu dianggap sebagai satu usaha untuk menutup mulut ibu bapa yang hanya mahu melindungi anak-anak mereka.
“Situasi ini satu pengkhianatan terhadap nilai pembangunan mampan yang selama ini dikaitkan dengan Desa ParkCity, sebuah kawasan yang sering dijadikan contoh kejayaan perancangan bandar yang harmoni,” ujarnya.
Dalam pada itu, mereka turut mempersoalkan kredibiliti proses kelulusan projek tersebut terutama apabila sekolah rendah yang baru dibuka pada 2023 kini terpaksa berhadapan dengan sebuah menara pencakar langit yang seolah-olah dibina tanpa mengambil kira aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan pelajar.
Tambah mereka, lebih 1,400 individu telah menandatangani petisyen membantah projek berkenaan dan menuntut agar pembinaan dihentikan serta disemak semula.
Malah jawatankuasa juga menggesa agar projek dipindahkan ke lokasi yang lebih sesuai, dan satu zon penampan hijau selebar sekurang-kurangnya 30 meter diwujudkan secara kekal untuk melindungi kawasan sekolah daripada pembangunan agresif di masa depan.
“Kita mohon sangat satu siasatan menyeluruh dan telus terhadap proses kelulusan pembangunan tersebut, termasuk penilaian semula dari sudut keselamatan dan impak alam sekitar oleh pihak ketiga yang bebas, dengan pemantauan awam dan penglibatan komuniti.
“Ini bukan sekadar isu tempatan. Ia mencerminkan kelemahan dalam sistem perancangan bandar dan keperluan mendesak agar DBKL mengambil tanggungjawab terhadap keputusan yang memberi kesan langsung kepada komuniti,” ujar mereka lagi.
Liz dan Ema menegaskan pihaknya tidak menolak pembangunan, tetapi menolak pembangunan yang mengabaikan keselamatan dan hak anak-anak untuk belajar dalam persekitaran yang tenteram dan terlindung.
“Ini bukan pembangunan, ini ancaman yang disembunyikan di sebalik kemajuan. Kami akan terus bersuara demi anak-anak kami. Mereka berhak untuk dilindungi, bukan dikelilingi oleh kren, konkrit dan risiko yang tidak sepatutnya wujud,” ujarnya.-MalaysiaGazette