Anggota bomba membawa mayat Mohd Al-Hafitz yang ditemukan lemas di Jeti Kampung Semaloi, Endau, Mersing hari ini

MERSING – Seorang imam di sebuah masjid di Pontian ditemukan lemas selepas terjatuh dari bot semasa memancing di Jeti Kampung Semaloi, Endau di sini hari ini.

Komander Operasi dari Balai dan Penyelamat (BBP) Endau, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Supian Yahaya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 2.25 pagi.

Susulan itu, katanya, 11 anggota dari BBP Endau dibantu masing-masing lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Mersing dan PPDA Skudai dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurutnya, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), satu pacuan empat roda Hilux, sebuah lori dan dua jentera Rapid Rescue Vehicle (RRV) terlibat dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat.

“Pihak bomba membuat teknik surface searching sekitar kawasan mangsa jatuh dengan jarak kira-kira 100 meter dari jeti tersebut sekitar pukul 2.30 pagi.

“Bagaimanapun atas faktor keselamatan dan keadaan gelap di permukaan sungai, operasi pencarian ditangguhkan sementara pada pukul 3.30 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan.

Pencarian disambung semula pada pukul 8 pagi dengan teknik pencarian windshield wiper searching bagi meningkatkan keupayaan mengesan mangsa.

“Alhirnya Mangsa Mohd Al-Hafitz Md Yunos yang berusia 45 tahun berjaya ditemui oleh anggota PPDA kira-kira 100 meter dari lokasi asal kejadian pada pukul 12.00 tengah hari.

“Mayat kemudian dibawa naik ke darat pada pukul 12.15 tengah hari dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan kejadian.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here