KUALA LUMPUR – Calon Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sivamalar Genapathy merayu agar semua pemimpin dan penyokong parti menghentikan serangan peribadi sepanjang kempen pemilihan parti.
Menurutnya, suasana tegang yang tercetus akibat persaingan antara tokoh-tokoh utama dalam parti bukan sahaja merosakkan semangat perpaduan tetapi turut melukakan hati para penyokong setia.
“Saya tidak mampu berdiam diri lagi. Saya menulis ini bukan sebagai calon tetapi sebagai seorang ahli yang lahir daripada semangat perjuangan parti.
”Hati saya sangat berat melihat keluarga besar Keadilan berpecah hanya kerana pemilihan,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.
Sivamalar turut kecewa terhadap perubahan suasana kempen yang menurutnya kini lebih tertumpu kepada cercaan dan sentimen peribadi berbanding perbincangan dasar dan hala tuju parti.
“Dulu, kita ajar parti lain bagaimana untuk berkempen secara matang tapi hari ini, saya lihat tokoh-tokoh yang pernah membimbing saya, kini tidak lagi mengamalkan nilai yang mereka sendiri perjuangkan. Ini menyakitkan,” ujarnya.
Mengulas pencalonan Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Rafizi Ramli, beliau mengakui persaingan antara kedua-dua tokoh itu memberi impak besar kepada suasana dalam parti namun menegaskan perbezaan pendapat tidak seharusnya memecahbelahkan saf perjuangan.
“Mereka adalah permata dalam parti ini. Begitu juga dengan Datuk Seri Saifuddin Nasution, Dr Fuziah Salleh dan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa. Menghentam salah seorang daripada mereka umpama memecahkan kaca jendela rumah kita sendiri,” tegasnya.
Sivamalar juga mengimbas kekalahannya dalam pemilihan cabang baru-baru ini namun menyifatkan pengalaman itu sebagai ujian yang menguatkan lagi komitmen beliau terhadap perjuangan parti.
“Saya amat berharap semua pihak kembali kepada asas perjuangan dan menghormati semangat kekeluargaan dalam Keadilan.
“Jika ada kelemahan dalam sistem, kita boleh perbaiki dalam pemilihan akan datang. Tapi luka akibat perpecahan dan kata-kata nista hari ini, sukar untuk disembuhkan. Marilah kita bersatu, demi parti dan demi harapan rakyat yang masih mempercayai kita,” rayunya. – MalaysiaGazette