Tenaga pengajar bergambar bersama anak-anak pelarian Syria dan Palestin ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di sekolah Jasmine Ash Sham di Kemensah Heights, Ampang, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 20 MEI 2025.

AMPANG – Sejak beroperasi pada 2016, Pusat Pendidikan Alternatif Jasmine Ash Sham (Jasmine Ash Sham) telah memberi banyak manfaat kepada kanak-kanak pelarian Syria yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini.

Namun memandangkan semakin ramai keluarga dari negara itu mula kembali ke Syria, pusat itu dibuka kepada kepada kanak-kanak negara lain sejak tahun lalu.

Ia melibatkan negara seperti Palestin, ⁠Somalia, Sudan, Nigeria, Mesir, Iraq, Iran, Oman dan Sri Lanka.

Sehingga kini, Jasmine Ash Sham memiliki 133 pelajar bermula usia tiga hingga 20 tahun di kalangan kanak-kanak pelarian (UNHCR) dan 18 guru termasuk enam rakyat tempatan dan bakinya dari luar negara berstatus pelarian.

Mereka beroperasi di rumah dua tingkat terletak di Kemensah Heights di sini.

Namun apa yang menyedihkan, pusat pendidikan itu ketika ini menghitung hari untuk ditutup operasinya gara-gara berdepan masalah kewangan selepas kekurangan dana.

Ia kerana sumbangan daripada sebuah pertubuhan kerajaan (NGO) selama ini terpaksa dihentikan atas faktor masalah kewangan.

Sekolah Jasmine Ash Sham di Kemensah Heights, Ampang, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 20 MEI 2025.

Bagi Pengarah Eksekutif Jasmine Ash Sham, Nur Fareezah Bahar, pihaknya menaruh harapan tinggi untuk meneruskan pusat itu walaupun berdepan kos operasi bulanan tinggi mencecah RM60,000.

Kata beliau, ia kerana yuran sebanyak RM127.50 yang dikenakan kepada pelajar masih tidak menampung kos operasi yang meliputi kos gaji guru dan sewa premis sebanyak RM4,200 sebulan.

“Kami baru melancarkan Kempen Save Our School dalam usaha mencari dana berterusan membantu kanak pelarian yang majoriti beragama Islam selain dua peratus bukan Muslim dari negara Afrika.

“Kami berharap dapat mengutip dana RM1 juta bagi memberi manfaat kepada anak-anak pelarian bagi meneruskan program pendidikan termasuk kemahiran dan aktiviti kepimpinan selain kelas 3M (membaca, menulis, mengira) dan kelas bahasa Melayu.

“Dana memang diperlukan kerana kanak-kanak pelarian ini juga manusia yang mempunyai  hak sewajarnya untuk mendapat pendidikan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Tenaga pengajar bergambar bersama anak-anak pelarian Syria dan Palestin ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di sekolah Jasmine Ash Sham di Kemensah Heights, Ampang, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 20 MEI 2025.

Mengulas lanjut, Nur Fareezah berkata, pusat itu  juga menyediakan pengangkutan percuma kepada pelajarnya yang rata-rata tinggal di sekitar Bukit Jalil dan Kajang.

Katanya, kanak-kanak itu sukar datang mengikut pendidikan di pusat atas faktor lokasinya yang jauh.

“Saya memohon rakyat Malaysia, syarikat atau organisasi agar dapat membantu mengekalkan operasi Jasmine Ash Sham dalam usaha menberi pendidikan dalam membentuk sahsiah kanak-kanak pelarian.

“Saya yakin apabila mereka dewasa dan ada masa depan lebih baik, mereka akan datang semula ke negara ini untuk memberi balik manfaat kepada rakyat Malaysia

“Saya berharap pusat ini tidak terkubur kerana atas faktor kewangan kerana saya pasti rakyat negara ini sangat prihatin dengan pendidikan yang menjadi asas dan tamadun manusia,” katanya yang boleh dihubungi di talian 012-2409173.

Gelagat anak-anak pelarian Syria dan Palestin ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di sekolah Jasmine Ash Sham di Kemensah Heights, Ampang, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 20 MEI 2025.

Sementara itu, Pengasas Pertubuhan Kebajikan Harmoni Dan Prihatin Malaysia (Harmony Prihatin Malaysia), Nor Hashim Abdullah turut hadir menyampaikan sumbangan kepada pusat berkenaan.

Beliau turut berharap agar lebih ramai NGO yang dapat membantu Jasmine Ash Sham agar dapat menyelamatkan masa depan kanak-kanak pelarian itu.

“Saya fikir satu NGO untuk tanggung bantu RM60,000 mungkin berat tetapi sekiranya ada sebanyak 20 NGO, mungkin hanya RM3,000 sahaja diperlukan setiap NGO di mana sumbangan menjadi lebih mudah apabila sama-sama bergabung.

“Amat rugi jika pusat ini ditutup kerana di sini budak-budak ini dapat belajar dan mendapat ilmu dan saya harap kempen Save Our School dapat mencapai dana RM1 juta.

“Ia bukan sahaja untuk menanggung kos operasi bulanan tetapi jika tercapai dana itu, ia dapat membaiki dan memberi tambah nilai kepada Jasmine Ash Sham dari segi alat bantu mengajar, menaik taraf bilik air dan kelas yang lebih selesa,” katanya.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menyumbang di akaun CIMB Bank  8605330472 – Pusat Bimbingan Alternatif Jasmine Ash Sham (Jasmine) atau  akaun Maybank 5648 1060 2981 Harmony Prihatin Malaysia (Ref: Jasmine). – MalaysiaGazette

Gelagat anak-anak pelarian Syria dan Palestin ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di sekolah Jasmine Ash Sham di Kemensah Heights, Ampang, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 20 MEI 2025.

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here