Dominic Lau Hoe Chai

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menilai semula sama ada perlu mengekalkan Kementerian Ekonomi yang dilihat semakin tidak relevan susulan  keputusan Jemaah Menteri untuk menyerahkan sepenuhnya pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol RON95 kepada Kementerian Kewangan.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, sejak Rafizi Ramli dilantik menerajui kementerian tersebut, tiada sebarang pencapaian konkrit yang dapat dilihat dalam usaha memperkasa atau menstruktur semula ekonomi negara mahupun meningkatkan pendapatan rakyat.

Sekiranya kementerian ini gagal memberikan sumbangan bermakna, maka tidak ada justifikasi bagi kerajaan membelanjakan dana besar semata-mata untuk mengekalkan satu jawatan menteri yang tidak membawa impak nyata.

“Jika Perdana Menteri benar-benar serius mahu melaksanakan langkah berjimat cermat dalam perbelanjaan negara pada waktu kritikal ini, maka beliau perlu menilai semula keseluruhan struktur barisan Kabinet.

“Lebih-lebih lagi apabila fungsi Kementerian Ekonomi dalam isu rasionalisasi subsidi dan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) nyata bertindih dengan peranan Kementerian Kewangan serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri,” katanya.

Dominic turut mempersoalkan kewajaran mengekalkan seorang menteri yang bukan sahaja gagal mengenal pasti secara tepat golongan isi rumah berpendapatan T15 yang bakal terkesan secara langsung akibat pemotongan subsidi, malah turut gagal menunaikan janji untuk mengambil alih Lebuhraya PLUS demi memberi akses percuma kepada rakyat.

“Apakah perlu rakyat terus menanggung kos gaji seorang menteri hanya untuk ‘memuaskan’ seorang individu? Ini merupakan satu bentuk perancangan politik yang amat tidak bertanggungjawab,” tegas beliau.

Beliau menambah, jika Perdana Menteri merasakan negara masih memerlukan kewujudan Kementerian Ekonomi, maka beliau perlu menjelaskan secara terperinci justifikasi dan skop tugas sebenar kementerian berkenaan.

Pada pandangan beliau, kebanyakan unit di bawah kementerian tersebut hanyalah gabungan semula unit-unit sedia ada dari kementerian lain.

Lebih penting lagi, tiada keperluan untuk membazirkan wang pembayar cukai bagi menampung sebuah kementerian yang tidak memberikan pulangan setimpal.

“Struktur utama Kementerian Ekonomi sebenarnya berasal daripada Unit Perancang Ekonomi (UPE) yang sebelum ini diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan diterajui oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Ekonomi).

“Memandangkan JPM sendiri sudah mempunyai beberapa orang menteri dan timbalan menteri, adakah benar-benar tiada seorang pun yang mampu mengambil alih tanggungjawab ini?” soalnya lagi.

Beliau turut menjelaskan, sejak pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel tahun lalu sehinggalah kepada rancangan rasionalisasi subsidi petrol RON95 ketika ini, kementerian yang memainkan peranan utama ialah Kementerian Kewangan.

Dakwanya, dalam konteks ini, Kementerian Ekonomi sekadar berperanan sebagai badan penyelidik dan penasihat yang hanya mengemukakan cadangan.

“Peranan ini secara teknikalnya boleh dilaksanakan oleh Unit Perancang Ekonomi tanpa perlu menanggung kos tambahan untuk melantik seorang menteri tambahan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here