KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan dan wanita warga Thailand dicekup ketika sedang memunggah ganja bernilai RM1.95 juta ke dalam sebuah pikap dalam serbuan Pasukan Gerakan Am (PGA) di pangkalan haram Tok Awang Belulang, Rantau Panjang, semalam.
Serbuan jam 7.40 pagi itu dilakukan semasa penugasan Op Taring Wawasan selepas anggota PGA mengesan pergerakan mencurigakan sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton di kawasan berkenaan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pemerhatian mendapati seorang lelaki dilihat bertemu dengan seorang wanita yang datang dari arah tangga jeti pangkalan haram tersebut.
“Kedua-dua mereka kemudiannya dilihat memunggah beberapa kotak ke bahagian belakang trak pikap itu.
“Anggota PGA kemudiannya bertindak menyerbu dan menahan kedua-dua individu berkenaan sebelum menemui 13 kotak berisi 55.8 kilogram ganja di dalam kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tambahnya, ujian saringan air kencing mendapati lelaki berusia 31 tahun itu negatif dadah manakala wanita Thailand berusia 52 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine.
Kedua-dua suspek dan barangan rampasan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan lanjut.
Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette