Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sewaktu mengadakan kunjungan hormat ke atas Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg. - Foto: FB Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) bakal memperkukuh kerjasama strategik bersama Kerajaan Negeri Sarawak bagi memperkasa bidang pendidikan dan keusahawanan, khususnya dalam sektor tenaga konvensional dan baharu.

Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya melihat potensi besar dalam mempertingkat kerjasama itu memandangkan MARA mempunyai mandat dan kemudahan pendidikan yang boleh diselaraskan dengan aspirasi Kerajaan Negeri Sarawak.

Ia, jelas beliau, terutamanya dalam menjadikan negeri itu sebagai hab tenaga baharu termasuk hidrogen.

Tambahnya, pelan induk sedang dirangka bagi mengangkat Institut Kemahiran MARA (IKM)Bintulu sebagai pusat latihan serantau dalam bidang tenaga merangkumi minyak dan gas serta teknologi tenaga hijau dengan fasiliti bertaraf antarabangsa yang telah mendapat pengiktirafan pelbagai pihak.

“Inisiatif ini akan memastikan anak-anak Sarawak mendapat manfaat langsung daripada program pendidikan dan latihan kemahiran MARA seperti IKM dan GiatMARA. Kita mahu mereka menjadi tenaga kerja mahir dengan jaminan pekerjaan dan gaji yang bermaruah,” ujarnya seperti dipetik menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Asyraf Wajdi mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pagi tadi.

Pertemuan itu turut menyaksikan kedua-dua pihak bersetuju secara prinsip untuk menjadikan IKM Bintulu sebagai hab pendidikan serantau dalam bidang tenaga.

Asyraf Wajdi turut memaklumkan bahawa buat pertama kalinya, mesyuarat penuh Majlis MARA diadakan di Sarawak.

Sementara itu, dalam sesi libat urus bersama pelajar-pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan institusi MARA di Bintulu, beberapa permintaan untuk menaik taraf fasiliti telah diluluskan dengan peruntukan dianggarkan melebihi RM3 juta.

“Semangat dan motivasi pelajar-pelajar di Sarawak sangat luar biasa.

“Kita mahu mereka terus maju dan MARA komited untuk menyediakan kemudahan terbaik kepada mereka,” katanya.

Mengenai pelan induk IKM Bintulu, beliau berkata, perinciannya dijangka dimuktamadkan dalam tempoh tiga bulan, dan pelancaran rasmi akan diadakan sebelum akhir tahun ini.

“Kita tidak mahu sekadar menjadi jaguh kampung. Kita mahu Sarawak dikenali sebagai pemain global dalam pendidikan berkaitan tenaga,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here