BATU PAHAT – Agensi PenguatkuasaanMaritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Batu Pahat mematahkan cubaan menyeludup 300 kilogram dadah bernilai RM10 juta dalam serbuan di perairan Sungai Ayam di sini Jumaat lalu.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, serbuan pada pukul 1 pagi itu dilakukan hasil maklumat risikan berhubung pergerakan mencurigakan sebuah bot fiber asing di perairan terbabit.
“Berikutan itu sebuah bot ronda maritim diatur gerak ke lokasi sebaik menerima maklumat.
“Apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak melarikan diri ke kawasan cetek sebelum terjun dan meloloskan diri ke arah hutan paya bakau,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gunasama Zon Maritim Batu Pahat di sini hari ini.
Beliau berkata, bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang menggunakan enjin sangkut Yamaha berkuasa 200 kuasa kuda itu ditinggalkan begitu sahaja.
Hasil pemeriksaan ke atas bot Indonesia itu katanya, menemui 12 guni berisi bungkusan plastik mengandungi serbuk kristal dipercayai dadah jenis syabu.
“Setiap guni dianggarkan seberat 25 kilogram dengan jumlah keseluruhan rampasan terbesar itu mencecah 300 kilogram,” katanya.
Kama Azri memberitahu, semua barang rampasan dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat untuk siasatan lanjut di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pihaknya memandang serius aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan negara khususnya penyeludupan dadah dan pendatang asing tanpa izin.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dan akan terus meningkatkan operasi serta tindakan penguatkuasaan demi menjamin keselamatan perairan negara,” ujarnya.
Beliau turut menyeru komuniti maritim dan masyarakat setempat agar terus menyalurkan maklumat serta menjadi ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa dalam usaha membanteras jenayah maritim.- MalaysiaGazette