IPOH – Meskipun seminggu berlalu, namun perasaan rindu terhadap suami tersayang yang terbabit dalam nahas jalan raya mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, sekelumit pun tidak pudar hingga ke saat ini.
Noor Hasliza Mohd Hadzri, 32, berkata, kedua-dua anak, Mohamad Adam Harris, enam tahun, dan Nur Aqeela Nadine, setahun menunjukkan reaksi seolah-olah masih merindukan dakapan daripada ayah, Allahyarham Koperal Muhamad Akmal Muhamad.
Dia yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir Kewangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh memberitahu, walaupun emosi anak sulungnya stabil, namun ada kalanya dia lebih mendiamkan diri.
“Dia kalau mendiamkan diri saya akan tenangkan dia, dan minta dia untuk sedekahkan al-Fatihah kepada ayahanya. Tetapi selepas seminggu kejadian, saya lihat Mohamad Adam Harris sudah dapat menerima keadaan ayahnya sudah tiada.
“Kalau saya tanyakan kepada dia tentang ayahnya, dia akan jawab ‘babah sudah meninggal, babah sudah ada dekat syurga.
“Anak kedua pula kerap menangis dan selalu sebut ‘bah’ bah’, seolah-olah mencari arwah ayahnya,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Ziarah Kasih Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad Menyantuni Waris Anggota FRU di Bandar Baru Putra, dekat sini, pada Selasa.
Muhamad Akmal, 35, merupakan antara sembilan anggota FRU yang maut dalam nahas jalan raya antara trak FRU dengan lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam di Teluk Intan, pada 13 Mei lalu.
Sementara itu Noor Hasliza memberitahu, walaupun reda dengan pemergian suami, namun kehilangan itu masih berat untuk diterima kerana terpaksa menjalani kehidupan harian tanpa insan tercinta.
Walau bagaimanapun, dia bersyukur apabila mendapat sokongan emosi pelbagai pihak termasuk daripada keluarga mertua.
“Emosi saya memang tidak stabil, sebab dia pergi dalam keadaan mengejut. (Hendak) menerima keadaan itu mungkin ia perlu ambil masa. Bagaimanapun saya reda atas pemergian dia.
“Semasa saya buat pengecaman jenazah tempoh hari, saya lihat walaupun dia masih berdarah, namun jenazah arwah suami wangi. Macam orang kata arwah pergi dalam keadaan baik,” ujarnya. – MalaysiaGazette