KUALA LUMPUR – Pemandu yang membawa membawa muatan di bumbung kereta Axia secara berbahaya di Jalan Dengkil-Banting dekat sini telah ditahan polis semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya telah mengesan vidoe tular berdurasi 13 saat di akaun Facebook pada pukul 10 pagi.
“Susulan itu, Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang segera mengambil tindakan mengesan kenderaan itu dan berjaya ditemui kira-kira satu jam kemudian di lokasi terbabit.
“Hasil siasatan mendapati, pemandu berusia 59 tahun itu mempunyai lesen memandu yang sah dan kenderaan terbabit juga memiliki dokumen perjalanan lengkap.
“Siasatan juga mendapati lelaki itu pernah terlibat kemalangan sebelum ini sehingga menyebabkan dia mengalami masalah di bahagian kepala namun alasan (dia) diberikan telah mengalami gangguan jiwa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Norhizam, lelaki itu sudah dijamin oleh ahli keluarganya manakala keretanya ditahan mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk pemeriksaan dan tindakn lanjut.
“Orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siastaan dan polis menyeru supaya menyalurkan maklumat berkaitan atau kelakuan bahayakan pengguna jalan raya di saluran rasmi PDRM,” jelasnya. – MalaysiaGazette