Rudi Zulkarnain Mat Radi.

TELUK INTAN – Pemandu lori yang menghadapi pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menolong menyembunyikan harta curi iaitu dua ekor lembu, bulan lepas.

Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memindah hantar yang disedari sebagai harta curi, iaitu seekor lembu jantan warna hitam baka KK Cross dan seekor lembu jantan warna putih baka Brahman milik Rozali Ismail, 66, dari tempat asal iaitu di kebun Kampung Sungai Keli, Hutan Melintang di sini.

Kesalahan itu dilakukan di Kampung Kebun Baru, Hutan Melintang di sini pada pukul 6 petang, 14 April lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Izzuddin Fakri Hamdan menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap lelaki itu.

Peguam Mohd Hafizuddin Khan Norkhan yang mewakili Rudi Zulkarnain, memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya berdepan 10 pertuduhan termasuk kes kemalangan yang membabitkan anggota FRU, selain tertuduh tidak mempunyai pendapatan kerana lesen telah digantung dan kedua-dua lembu tersebut telah diserahkan kepada mangsa.

Majistret Naidatul Athirah Azman kemudiannya membenarkan lelaki itu diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pada Jumaat, Rudi Zulkarnain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU, 13 Mei lepas.

Mahkamah menetapkan jaminan RM6,000 terhadap pemandu lori tersebut dan jaminan berkenaan dibayar oleh majikannya dengan seorang penjamin semalam.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here