mohd azizuddin mohd sani
Mohd. Azizuddin Mohd. Sani

KUALA LUMPUR – Peringatan tegas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar bahawa parti itu berisiko untuk ‘hilang’ dalam tempoh lima hingga 10 tahun boleh menjadi kenyataan sekiranya prinsip demokrasi dipandang sepi oleh semua pihak dalam parti.

Pandangan itu dilontarkan Penganalisis Politik, Profesor Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani apabila berkata, pertelagahan dalam pimpinan juga boleh menjadi penyumbang utama kepada risiko berlakunya perpecahan.

Katanya, pertelagahan dalam sesuatu isu sekiranya tidak diselesaikan secara harmoni boleh melemahkan parti dan penting untuk pertelingkahan itu diselesaikan segera.

“Ia bergantung bagaimana mereka bertelagah dan berapa besar pertelagahan itu. PKR ni bukannya parti baru tapi dah lama.

“Tapi kalau bertelagah tu memang akan lemahlah. Jadi, apa yang dikatakan oleh Nurul Izzah tu memang betullah… kalau bertelagah nak rebut jawatan dan sebagainya memang lemahlah,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Azizuddin berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan Nurul Izzah ketika program Rapat Umum Akar Umbi sempena Pemilihan PKR di Seremban malam tadi yang menegaskan, PKR berisiko untuk ‘hilang’ dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang sekiranya barisan kepimpinannya gagal bersatu dan memperkukuh kerjasama dalaman.

Menurut calon Timbalan Presiden PKR itu, tumpuan utama ketika ini adalah merapatkan saf kepimpinan serta memastikan kestabilan kerajaan yang sedang mentadbir.

Mengulas lanjut Mohd Azizuddin berkata, secara umumnya beliau menjelaskan, semangat untuk bersaing dalam parti sememangnya perlu kerana wujudnya demokrasi lebih-lebih lagi ketika dalam pemilihan.

Namun, ia tidak wajar diterjemahkan dalam bentuk perpecahan seperti rasa tidak puas hati dengan cuba membuat keputusan keluar parti dan sebagainya.

Katanya, ketika PKR menjadi pembangkang parti itu kurang mendapat perhatian rakyat, namun selepas berada ditampuk pemerintahan PKR kini menjadi tumpuan.

“Kalau berlaku macam tu (pertelagahana) memang tak eloklah…naik dan turun dalam parti ni biasalah. Tapi, sampai nak pecah belah dalam parti tak kenalah,” ujarnya.

Tambah beliau, semangat demokrasi dalam parti sepatutnya digunakan untuk menguatkan lagi parti dan bukannya untuk melemahkan.

“Bagi saya kalau macam pemilihan ia seperti pertandingan adik beradik sahaja. Sepatutnya tawar menawar dalam parti ini perlu dilakukan secara berhemah. Tak perlu menghentam individu atau peribadi. Tak sesuailah.

“Nak kempen macam mana pun kempenlah, tapi bukan menghentam” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here