MADRID – Perdana Menteri Sepanyol menggesa agar Israel dilarang menyertai Pertandingan Lagu Eurovision kerana tindakan ketenteraannya ke atas Gaza.
Pedro Sánchez menyatakan Rusia telah diharamkan daripada pertandingan itu sejak 2022 berikutan pencerobohannya ke atas Ukraine, dan tidak sepatutnya ada double standard.
Israel menduduki tempat kedua dalam pertandingan akhir besar di Switzerland pada hari Sabtu, tetapi mengungguli undian awam – dengan penonton Sepanyol memberikan Israel 12 mata maksimum.
Menteri Hal Ehwal Diaspora Israel, Amichai Chikli, mengejek kenyataan Sánchez menerusi catatan media sosialnya dengan mengatakan undian itu telah menjadi “tamparan muka” untuk PM Sepanyol, “yang telah kita dengar di sini di Baitulmaqdis”.
Sánchez telah menyatakan solidariti dengan “rakyat Palestin yang mengalami ketidakadilan perang dan pengeboman”.
“Komitmen Sepanyol terhadap undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia mesti berterusan dan ia mesti koheren.
“Eropah sepatutnya jua begitu,” katanya.
Sánchez dan kerajaannya, yang secara rasmi mengiktiraf Palestin sebuah negara tahun lalu, telah menjadi pengkritik keras terhadap rejim Israel, dan minggu lalu di Kongres, beliau merujuk negara itu sebagai “negara genosid”.
Israel telah menafikan sekeras-kerasnya tuduhan pembunuhan beramai-ramai, dan kementerian luar negerinya memanggil duta Sepanyol untuk teguran rasmi berhubung “kenyataan serius” Sánchez.
Di Eurovision, televisyen Sepanyol menyaksikan negara itu memberikan mata maksimum kepada Israel untuk lagu New Day Will Rise oleh Yuval Raphael. – Agensi