Siti Zailah Mohd Yusoff KPWKM unnatural sex women family children rape incest
Siti Zailah Mohd Yusoff

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mencadangkan penubuhan klinik intervensi remaja berfokus HIV di Klinik Kesihatan terpilih sebagai saluran khas untuk pelajar mendapatkan ujian HIV secara sulit, rawatan PrEP dan sokongan kesihatan mental dalam persekitaran mesra remaja.

Ketua Portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (PN), Datuk Siti Zailah Mohd Yusof bekata, ia merupakan sebahagian daripada usaha pencegahan susulan laporan peningkatan jangkitan HIV dalam kalangan remaja termasuk penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).

Selain itu, tambah Ahli Parlimen Rantau Panjang berkenaan, kerajaan juga boleh menubuhkan “Pasukan Rakan Rescue’ di sekolah dan IPT bagi melatih pelajar senior atau aktivis kampus menjadi barisan hadapan dalam mengesan dan menyokong rakan-rakan yang mungkin berada dalam situasi berisiko tinggi secara rahsia dan penuh bimbingan.

Sementara itu, ujarnya, kerajaan juga boleh mengadakan program pemulihan kendiri kepada pelajar yang terlibat dalam hubungan seksual berisiko melalui modul spiritual, seni ekspresif, refleksi diri dan terapi kumpulan.

Saranan lain, ujarnya, dengan membangunkan aplikasi yang membolehkan pelajar mengakses maklumat, bantuan ujian, kaunseling dan pelaporan awal secara rahsia serta bebas daripada stigma dan penilaian masyarakat.

“Dalam masa sama, pihak berwajib juga perlu melaksanakan audit berkala terhadap kadar pendedahan pelajar kepada pornografi dan media sosial berunsur seksual.

“Data ini penting untuk membentuk pendekatan pendidikan digital yang bersasar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Siti Zailah, dalam usaha mencegah penularan kes itu juga, kerajaan boleh memperkenalkan modul kesihatan seksual secara sistematik dalam pendidikan menengah yang menggabungkan nilai agama, etika, sains dan pendekatan psikososial tanpa prejudis dan stigma.

Selain itu, ujarnya, kerajaan juga boleh mewujudkan anugerah kepada sekolah dan IPT yang melaksanakan pendidikan kesihatan seksual, sokongan psikologi dan intervensi pelajar secara menyeluruh dan terbukti berkesan.

Cadangan lain, tambah beliau, adalah dengan menerbitkan siri video, podcast dan testimoni dari bekas penghidap HIV muda melalui platform seperti TikTok, Instagram dan YouTube yang mana kempen itu lebih dekat dengan realiti remaja.

Dalam masa sama, katanya, guru, kaunselor dan warden perlu dilatih dalam pengesanan awal risiko seksualiti pelajar dan cara untuk mendekati mereka secara rahsia dan penuh empati.

Tambah beliau, dana khas juga wajar disediakan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kelab pelajar untuk menganjurkan program sokongan, bengkel dan kempen kesedaran di peringkat akar umbi secara kreatif dan inklusif.

“Kami menegaskan bahawa usaha mencegah dan menangani HIV dalam kalangan remaja memerlukan pendekatan di luar kebiasaan, keberanian untuk bercakap tentang kebenaran, dan kerjasama menyeluruh antara kerajaan, masyarakat, institusi pendidikan dan media.

“Parlimen Perikatan Nasional menyeru agar isu ini tidak dipolitikkan, sebaliknya ditangani dengan tanggungjawab moral dan kepimpinan berani demi menyelamatkan generasi masa depan,” katanya.

Majlis AIDS Malaysia (MAC) sebelum ini melaporkan peningkatan kes HIV dalam kalangan remaja dan belia di bawah 30 tahun yang kini menjadi golongan paling berisiko tinggi jangkitan HIV di negara ini.

Setiausaha Kehormat MAC, Dr. Zaiton Yahya berkata, kebanyakan kes baharu adalah dalam kalangan remaja lepasan sekolah dan universiti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here