KUANTAN – Seorang lelaki dikatakan hilang selepas keluar rumah dan di Bukit Ubi di sini pada 14 Mei lalu dan sehingga kini belum ditemui.
Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa, Balamurugan Dhandapani, 36, keluar rumahnya kira-kira pukul 2 petang dengan mengenakan baju kotak- kotak bewarna hitam, putih, merah dan berseluar jeans biru.
Mangsa yang hanya keluar berjalan kaki itu tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri membuatkan isterinya resah lalu mengambil tindakan untuk keluar mencarinya.
”Pada pukul 3 petang, pengadu mendapati suaminya masih tidak balik dan tidak dapat menghubungi suaminya kerana Balamurugan tidak membawa telefon bimbit.
”Isteri mangsa merupakan warganegara India dan telah cuba menghubungi kawan-kawan suami dan ahli keluarga tetapi mereka tidak tahu suami berada di mana.
”Menurut pengadu yang telah membuat laporan polis, suaminya mempunyai masalah tekanan perasaan dan bimbang mengenai keadannya,” katanya.
Menurut Wan Mohd Zahari, mangsa merupakan seorang peniaga kedai runcit yang teah menjalankan perniagaan selama 18 tahun.
Sejak seminggu lepas, kedai runcitnya sudah ditutup kerana mangsa dipercayai mempunyai hutang dengan pembekal lebih kurang RM200,000 selain hutang dengan ah long.
Tambah Wan Mohd Zahari, isteri mangsa memaklumkan sebelum itu pernah berlaku kejadian di mana mangsa tidak pulang ke rumah selama tujuh hari.
Susulan itu orang ramai yang mempunyai maklumat atau berjumpa dengan lelaki berkenaan boleh meghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di talian atau mana-mana balai polis yang berdekatan. – MalaysiaGazette