BUTTERWORTH – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang menggagalkan cubaan membawa masuk 51.3 tan produk ikan sejuk beku yang mengandungi Deoxyribonucleic Acid (DNA) babi dan ayam dari negara China.
Maqis Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, ia ditemui menerusi hasil pemeriksaan yang dilakukan di Teminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) hari ini, selepas dokumen import dagangan mengandungi maklumat mengelirukan.
“Barangan itu diisytiharkan sebagai ‘frozen cuttlefish intestines’ yang berbentuk sosej sejuk beku, ‘frozen cuttlefish balls’ dan ‘frozen cuttlefish tofu’.

“Bagaimanapun, analisis DNA oleh Jabatan Kimia Malaysia mengesahkan produk itu mengandungi DNA babi dan ayam di mana ia bercanggah deklarasi asal dalam dokumen import.
Susulan itu, dagangan seberat 51.3 tan bernilai lebih RM63,534 disita untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 13 Akta MAQIS 2011 kerana mengemukakan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan,” katanya hari ini.
Tambah kenyataan itu, pengimport juga telah dikenakan kompaun dan barangan dagangan akan dilupuskan mengikut tindakan penguatkuasaan diperuntukkan di bawah akta sama. – MalaysiaGazette