ISKANDAR PUTERI – Lapan daripada 11 projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi (TBBT) di Johor sedang giat dilaksanakan di Segamat, Kota Tinggi, Batu Pahat, Muar, Tangkak dan Johor Bahru.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, daripada jumlah itu, tiga lagi projek pada peringkat pra-pelaksanaan dengan rundingan reka bentuk dan kajian teknikal sedang dijalankan.
“Antara projek TBBT yang sedang berjalan adalah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Muar Fasa 3, Pakej 1 di Segamat, dengan menaik taraf Sungai Muar antara pertemuan Sungai Jementah hingga Sungai Labis bernilai RM461 juta.
“RTB Sungai Muar Fasa 3, Pakej 2 di Segamat, bagi meningkatkan kapasiti Sungai Labis, Sungai Jementah dan cabang-cabangnya bernilai RM70.95 juta. Selain itu, RTB Bandar Batu Pahat dengan projek bernilai RM187.17 juta.
“Sementara dua projek TBBT di Kota Tinggi iaitu RTB Sungai Johor Fasa 1, Pakej 1 di Kota Tinggi yang merangkumi pembinaan kolam takungan banjir dan kerja naik taraf Sungai Johor bernilai RM376 juta. RTB Sungai Johor Fasa 1, Pakej 2 bagi menambah baik Sungai Johor dan cabangnya bernilai RM74.2 juta.
“Kelima-lima projek di Segamat, Batu Pahat dan Kota Tinggi ini bermula pada 2024 dan dijadualkan siap pada 2029, tetapi dijangka dapat disiapkan dua tahun awal iaitu pada Disember 2027,” katanya menjawab soalan pada Mesyuarat pertama, penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke 15 di Bangunan Sultan Ismail hari ini.
Mohamad Fazli (BN- Bukit Pasir) menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Jefridin Atan (BN-Kukup), Anuar Abd Manap (BN-Pemanis) dan Marina Ibrahim (PH-Skudai), yang bertanyakan status terkini projek tebatan banjir yang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan bagi TBBT dan langkah proaktif bagi mempercepatkan projek ini memandangkan keadaan banjir di negeri Johor kerap berlaku.
Mohamad Fazli memaklumkan projek TBBT dalam pelaksanaan turut melibatkan pelaksaan memperkukuh struktur empangan tebatan banjir Semberong di Batu Pahat dengan kos RM33 juta, dijangka siap Julai 2028.
Sementara bagi daerah Tangkak menerusi projek menyiapkan kerja bagi projek RTB Lembangan Sungai Kesang bernilai RM24.8 juta, bermula Ogos 2023 dijangka siap Ogos tahun depan.
“Projek RTBBT yang juga dijangka siap tahun depan ialah RTB Sungai Pemandi di Kota Tinggi yang melibatkan kos RM29.73 juta.
“Tiga projek dalam peringkat pra-pelaksanaan pula membabitkan RTB Sungai Muar Fasa II di Muar/Tangkak (nilai RM331 juta dijangka memulakan rundingan reka bentuk pada Jun 2025) dan RTB Sungai Batu Pahat (Seri Medan) (nilai kos RM56.7 juta dijangka bermula Julai 2025).
“Turut dalam pra pelaksaan Kajian pembangunan Lembangan Sungai Skudai di Johor Bahru bernilai RM9 juta (proses rekabentuk teknikal selama 12 bulan bermula Oktober 2026),” katanya.
Menurut Mohamad Fazli, kerajaan negeri juga mengambil langkah proaktif dengan meluluskan sembilan projek yang menjadi rancangan tebatan banjir melibatkan daerah Tangkak, Pontian, Kulai, Segamat, Kota Tinggi, Kluang, Batu Pahat, Mersing dan Johor Bahru dengan nilai RM15.53 juta.
Selain itu kerajaan negeri juga dalam perancangan untuk memohon peruntukan bagi melaksanakan kerja-kerja menangani banjir.
“Permohonan kepada kerajaan Persekutuan, melalui Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK 13) bernilai RM 2.23 bilion. Dan permohonan melalui Kerajaan Negeri bernilai RM60.38 juta.
“Bagi projek hotspot banjir pula, terdapat tujuh projek di dalam pelaksanaan khususnya di kawasan bandaraya Johor Bahru bernilai RM142.7 juta.
“Sebagai penyelesaian menyeluruh bagi menangani banjir di kawasan berisiko tinggi, Kerajaan Persekutuan melalui Rolling Plan Ke-5 Rancangan Malaysia Ke-12 telah meluluskan pelaksanaan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Skudai dengan kos RM99 juta.
“Projek ini merangkumi seluruh kawasan berisiko dalam lembangan Sungai Skudai termasuk Kg Poh Chi Lin, Kg Sepakat Baru, Kg Laut dan Kg Syahbandar. Ketika ini, projek berada di peringkat pelantikan perunding dan kerja-kerja fizikal dijangka bermula pada tahun 2027,” katanya.- MalaysiaGazette