Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat (tengah) ketika hadir pada Majlis angkat sumpah dan taat setia Hakim Mahkamah Persekutuan dan Hakim Mahkamah Rayuan di Dewan Persidangan, Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HARI ANGGARA, 20 MEI 2025.

PUTRAJAYA – Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengesahkan belum menerima tawaran untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan bagi jawatan itu meskipun dijadual bersara wajib pada akhir bulan depan.

Beliau turut enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada akan mempertimbang tawaran untuk menyambung perkhidmatan sebagai Ketua Hakim Negara selama enam bulan lagi.

“Saya belum menerima tawaran untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan (Ketua Hakim Negara).

“Sama ada saya akan mempertimbangkannya, saya rasa tidak patut untuk menjawabnya sekarang,” ujarnya ketika ditemui wakil media selepas majlis angkat sumpah jawatan seorang hakim Mahkamah Persekutuan dan dua hakim Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman hari ini.

Selain Tun Tengku Maimun, turut hadir ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim; Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat (tengah) bercakap kepada wartawan ketika hadir pada Majlis angkat sumpah dan taat setia Hakim Mahkamah Persekutuan dan Hakim Mahkamah Rayuan di Dewan Persidangan, Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HARI ANGGARA, 20 MEI 2025.

Tun Tengku Maimun yang dilahirkan pada 2 Julai 1959 dijadual bersara wajib pada 30 Jun ini jika tempoh perkhidmatannya tidak dilanjutkan selama enam bulan lagi.

Ujar Tengku Maimun, selain beliau, ada dua lagi hakim tertinggi bakal bersara tahun ini apabila mencapai umur persaraan wajib 66 tahun.

Kedua-dua mereka ialah Abang Iskandar yang dijadual bersara wajib pada 1 Julai ini manakala Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan pada 30 Ogos ini.

“Termasuk saya, ada tiga (hakim yang akan bersara) masih menunggu lanjutan tempoh perkhidmatan (hakim mahkamah tertinggi). Mereka ialah Tan Sri PCA (Presiden Mahkamah Rayuan) dan Tan Sri Nallini,” ujarnya.

Pada majlis itu, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Lee Swee Seng,64, dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Datuk Lee Swee Seng (kiri) bersama-sama dengan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz (tengah) dan Datuk Dr Lim Hock Leng (kanan) ketika sesi mengangkat sumpah jawatan pada Majlis angkat sumpah dan taat setia Hakim Mahkamah Persekutuan dan Hakim Mahkamah Rayuan di Dewan Persidangan, Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HARI ANGGARA, 20 MEI 2025.

Beliau yang lahir pada 26 November 1960 merupakan bekas peguam sebelum dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2010 dan disahkan jawatan sebagai hakim Mahkamah Tinggi pada 2014. Dia dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan pada 2019.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz, 63, dan Datuk Dr. Lim Hock Leng, 63, juga dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here