Tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diarah mengambil tindakan segera merampas dan menyita iklan berkaitan produk vape di mana-mana medium pengiklanan, sama ada fizikal mahupun papan iklan digital atau LED.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, tindakan itu selaras dengan peruntukan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 (Akta 852), yang secara jelas melarang sebarang bentuk pengiklanan, promosi dan penajaan berkaitan produk merokok elektronik.

Tegas beiau, Kerajaan Negeri Selangori ingin memastikan setiap dasar yang diperkenalkan mengambil kira impak terhadap kesihatan awam dan generasi akan datang.

Jamaliah Jamaluddin

“Kerajaan Negeri juga amat mengalu-alukan peranan aktif ibu bapa, institusi pendidikan, masyarakat sivil serta agensi berkaitan di peringkat Negeri dan Persekutuan dalam memastikan tindakan yang diambil benar-benar berkesan dan mampan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, menurut Jamaliah, satu mesyuarat penyelarasan berhubung cadangan mempertimbangkan pengharaman penjualan vape di Selangor telah diadakan dan dipengerusikan beliau sendiri selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Negeri Selangor.

Ujarnya, mesyuarat itu turut disertai oleh Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr. Ummi Kalthom Shamsuddin; wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN); wakil-wakil PBT serta pegawai-pegawai Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Jelas beliau, mesyuarat itu meneliti pelbagai isu berkaitan penggunaan dan penjualan vape termasuk cabaran penguatkuasaan, pelesenan, aspek perundangan, serta pemantauan.

“Isu penjualan secara dalam talian turut dibincangkan memandangkan ia sukar dikawal dan sering menjadi saluran utama kepada golongan remaja untuk mendapatkan produk ini,” katanya.

Jelasnya, penggunaan vape dalam kalangan remaja menunjukkan peningkatan ketara yang mana Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 menganggarkan hampir 14.9 peratus remaja lelaki berumur 13 hingga 17 tahun adalah pengguna vape.

Tambah beliau, statistik itu amat membimbangkan dan mencetuskan keperluan mendesak untuk tindakan proaktif di peringkat Selangor.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam akan mengadakan mesyuarat lanjutan dalam masa terdekat bagi membincangkan pilihan-pilihan dasar yang wajar dipertimbangkan sebelum cadangan akhir dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk diputuskan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here