KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Airaz Technologies Sdn Bhd (Airaz) membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM1.7 juta kepada Siti Khadijah Apparel Sdn. Bhd., selepas didapati meniru dan melanggar reka bentuk berdaftar `Telekung Harmoni’ milik syarikat itu.
Ganti rugi tersebut diberikan selepas mahkamah membenarkan tuntutan balas Siti Khadijah setelah mendapati `Telekung Suqainah Lite’ milik Airaz, meniru dan melanggar reka bentuk perindustrian `Telekung Harmoni’ milik Padzilah Enda (Pengarah Siti Khadijah).
Peguam Ahmad Hafiz Zubir yang mewakili Siti Khadijah dan Padzilah memberitahu pihak media hari ini, mahkamah memerintahkan Airaz membayar RM1,216,015.20 daripada akaun hasil keuntungan penjualan produk telekung jenama `Suqainah Lite` dan `Suqainah Luxe’ yang telah melanggar reka bentuk `Telekung Harmoni’.
Siti Khadijah Apparel turut diwakili peguam Iman Danial Hakim.
Perintah berkenaan dikeluarkan Hakim Adlin Abdul Majid pada prosiding taksiran ganti rugi secara dalam talian (dalam kamar) pada 6 Mac lalu.
Ujar Ahmad Hafiz, dalam penghakiman penuh pada Februari tahun lalu, mahkamah menolak tuntutan asal Airaz yang cuba membatalkan reka bentuk `Telekung Harmoni’.
Sebaliknya, mahkamah membenarkan tuntutan balas Siti Khadijah setelah didapati wujud persamaan ketara pada bahagian kepala dan dagu reka bentuk `Suqainah Lite’ dengan telekung plaintif.
“Selain itu, mahkamah turut mengarahkan Airaz Technologies membayar gantirugi pampasan dan teladan sebanyak RM500,000, dan kos prosiding berjumlah RM5,000 kepada Siti Khadijah Apparel,” katanya.
Hakim Azlan Sulaiman dalam keputusannya tahun lalu berkata, selepas membuat penelitian ke atas sampel `Suqainah Lite’ dan membandingkannya secara visual dengan reka bentuk ‘Harmoni’, beliau mendapati ciri-ciri penting ‘Harmoni’ turut ada pada Suqainah.
Menurut beliau, mahkamah mendapati telekung reka bentuk ‘Harmoni’ sudah dijual dan boleh didapati di pasaran sebelum plaintif menjual ‘Suqainah’.
Mahkamah turut menolak saman utama, iaitu permohonan Airaz untuk membatalkan pendaftaran reka bentuk perindustrian `Telekung Harmoni’ yang difailkan pada 2 Jun 2022.
Menurut Hakim Azlan, Airaz gagal mengemukakan butiran mencukupi berhubung reka bentuk industri telekung Siti Khadijah yang dinyatakan plaintif bukan sesuatu yang asli atau baharu.
Melalui saman balas difailkan pada 14 Disember 2022, Siti Khadijah pula mendakwa terdapat persamaan ketara melalui reka bentuk, corak di bahagian kepala dan dagu `Telekung Suqainah Lite’ yang ditiru daripada `Telekung Harmoni’ Siti Khadijah.
Siti Khadijah Apparel mendakwa tindakan Airaz yang menjual, mengiklan dan mengedarkan `Telekung Suqainah Lite’ melanggar hak reka bentuk perindustriannya kerana meniru dan menciplak reka bentuk telekung miliknya.
Sehubungan itu, Siti Khadijah Apparel memohon perintah perisytiharan bahawa Airaz melanggar reka bentuk perindustrian reka bentuk telekungnya mengikut Seksyen 32 Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996. – MalaysiaGazette