KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mencadangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meletakkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai salah satu agensi berisiko tinggi.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, ia bagi membolehkan JPN menjalankan pemantauan berkala termasuk dari sudut urus tadbir dan integriti dalaman di jabatan terbabit.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan budaya tidak bertanggungjawab tidak terus berakar umbi dalam sistem kerajaan.

Ujarnya, kelewatan siasatan serta kehilangan dokumen rasmi seperti sijil lahir asal seperti dilaporkan berlaku di JPN adalah suatu bentuk kecuaian serius yang boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa atau unsur rasuah.
“MCW menyokong penuh syor supaya tindakan tatatertib dikenakan ke atas pegawai yang terlibat di bawah Peraturan 38 dan mendesak agar siasatan dalaman turut mengenal pasti sebarang unsur salah laku atau konflik kepentingan.
“Kelewatan dan kecuaian sedemikian bukan sahaja menjejaskan reputasi JPN sebagai agensi penting negara tetapi juga menggugat kepercayaan rakyat terhadap integriti sistem pendaftaran negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) membuat teguran terhadap JPN susulan kelewatan luar biasa melebihi 10 tahun dalam siasatan permohonan kad pengenalan oleh jabatan itu.
Sementara itu, Jais berkata, penemuan EAIC itu jelas menunjukkan kelemahan dalam prosedur operasi standard (SOP) JPN, justeru menggesa satu audit bebas ke atas keseluruhan proses siasatan dan pengesahan identiti di dilaksanakan segera.
Ujarnya, ia bagi mengenal pasti ruang ketirisan dan risiko integriti yang membolehkan pengeluaran dokumen pengenalan secara tidak sah.
Menurut beliau, kelewatan penyelesaian kes kad pengenalan itu boleh menyebabkan individu tidak mendapat akses kepada hak-hak asas seperti pendidikan, pekerjaan dan penjagaan kesihatan.
Lebih membimbangkan, tambahnya, ia juga membuka ruang kepada pencerobohan identiti dan potensi ancaman keselamatan negara.
“MCW menegaskan bahawa kelemahan integriti bukan sekadar kegagalan prosedur tetapi berisiko menjadi pintu masuk kepada rasuah, penyeludupan identiti dan pelanggaran undang-undang yang lebih besar.
“Oleh itu, tindakan segera dan telus amat diperlukan bagi memulihkan kepercayaan rakyat serta memastikan institusi negara bebas daripada kecuaian, kelalaian dan unsur salah guna kuasa,” katanya. – MalaysiaGazette