ISKANDAR PUTERI – Nik Nazmi Nik Ahmad mahu semua pihak menunggu sehingga hari pemilihan Majlis Pimpinan Pusat pada Jumaat ini mengenai keputusan yang akan diambil jika gagal mengekalkan jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Tunggu (keputusan) pemilihan parti nanti,” ujar beliau ringkas apabila ditanya langkah akan diambil sekiranya tidak berjaya mengekalkan jawatan tersebut.
Terdahulu beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merasmikan Jawatankuasa Khas Konflik Manusia dan Gajah Negeri Johor di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar di sini hari ini.
Pada 8 Mei lalu, Nik Nazmi mengesahkan akan mempertahankan jawatan berkenaan dalam Pemilihan PKR bagi sesi 2025-2028 dan memohon ahli PKR memberi sokongan terhadapnya.
Pada 19 April lalu, Nik Nazmi gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa pada Pemilihan PKR 2025 apabila kalah kepada pencabarnya, Datuk Afdlin Shauki.
Afdlin, yang juga pelakon dan pengarah filem terkenal, menang setelah memperoleh sebanyak 631 undi pada pemilihan parti itu peringkat Cabang, yang berlangsung serentak dengan sayap Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada Sabtu.
Sementara Nik Nazmi yang dikatakan daripada kem penyandang Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli hanya meraih 563 undi dalam pemilihan ketua cabang itu.
Rafizi yang juga Menteri Ekonomi sebelum ini menyatakan kesediaannya untuk melepaskan jawatan dalam Kabinet sekiranya gagal mempertahankan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti yang dijadual berlangsung pada 24 Mei ini.
Menurutnya, keputusan itu dibuat sebagai langkah menghormati mandat akar umbi, sambil menegaskan bahawa beliau akan terus berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pandan meskipun tidak lagi menganggotai Jemaah Menteri.- MalaysiaGazette