PUCHONG – Video suami isteri bertengkar di pasar raya ST Rosyam Mart baru-baru ini merupakan ‘gimik’ kolaborasi bersama Ikhlas.com untuk pelancaran pakej umrah.
Pemilik pasar raya berkenaan yang juga merupakan pelakon terkenal, Datuk Rosyam Nor berkata, gimik tersebut merupakan strategi pemasaran yang disifatkannya sebagai cara untuk memancing emosi (triggered) masyarakat pada hari ini.
“Kalau kita tengok zaman hari ini, dipanggil zaman digital yang mana semua manusia ada internet. Kalau dulu untuk dapatkan berita (kena) beli surat khabar.
“(Tetapi) hari ini semua orang nak jadi wartawan sendiri. (Jadi melalui video viral ini ia untuk) sampaikan risalah (yang) baik kita kena guna term ‘triggered’ orang apa yang berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Korban Perdana dan Rewang Kenduri ikhlas.com x ST Rosyam Mart yang diadakan di Masjid Meranti.
Bukan untuk mengaut keuntungan semata-mata sebaliknya Rosyam berkata, cara tersebut untuk mendedahkan kepada masyarakat pada hari ini tentang kerjasama baik di antara kedua-dua pihak.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, video yang tular dan mengundang pelbagai reaksi masyarakat itu merupakan ‘dakwah pilihan’ yang dipilih oleh kedua-dua pihak berkenaan.
“Pandangan saya teladan yang datang daripada situasi yang terjadi adalah pergaduhan menjelangnya Hari Raya Aidiladha.
“Ada pergaduhan, tapi teladan yang ingin disampaikan adalah apa yang kita nak buat tentang korban (hari ini) dan (pakej) umrah dengan harga lebih baik ini adalah perkara baik,” jelasnya.
Pada majlis hari ini, Ikhlas.com melancarkan Promo Hijrah iaitu tawaran istimewa sempena sambutan Awal Muharram (Maal Hijrah) yang akan disambut oleh umat Islam pada 27 Jun 2025.
Orang ramai boleh mula membuat tempahan bagi pakej Ikhlas.com Umrah atau pakej pelancongan berkumpulan atau persendirian bersama ikhlas.com Travel dengan hanya membayar deposit serendah RM50 sepanjang tempoh kempen mulai 7 hingga 30 Jun ini.
Menerusi kerjasama bersama ST Rosyam Mart, Ikhlas.com juga akan menaja seramai 102 untuk menunaikan ibadah umrah di bawah pakej berkenaan.
Baru-baru ini tular di media sosial video seorang lelaki mencampak beberapa barang yang ada di dalam troli pasar raya.
Dalam video tersebut, lelaki itu yang memakai topi dilihat mengherdik wanita yang berada dekat dengannya sebelum mencampak barang-barang yang diambil dari dalam troli.
Bagaimanapun wanita itu dilihat mempertahankan tindakannya membeli barangan keperluan tersebut untuk sambutan hari Raya Aidiladha.
Namun lelaki terbabit terus mencampak barangan, sebelum menterbalikkan troli tersebut di hadapan wanita berkenaan.
Situasi tegang berkenaan turut disaksikan beberapa orang awam yang kemudian membantu meleraikan pertelingkahan pasangan terbabit. – MalaysiaGazette