KUALA LUMPUR – Cuaca tidak menentu dijangka melanda banyak kawasan di Semenanjung, Sarawak dan Sabah apabila ribut petir, hujan lebat serta angin kencang diramal berterusan sehingga pukul 9 malam ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan cuaca tidak menentu itu akan melanda negeri Kedah melibatkan Kulim dan Bandar Baharu berada dalam senarai kawasan berisiko.

Perak turut dijangka menerima impak meliputi Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Batang Padang serta Muallim.

Ramalan sama merangkumi beberapa daerah di Pahang iaitu Jerantut, Temerloh, Maran dan Kuantan, selain seluruh Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya.

Negeri Sembilan melibatkan Jelebu, Seremban dan Port Dickson, manakala Johor membabitkan Segamat, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai serta Johor Bahru.

Di Borneo, Sarawak meliputi Kuching, Serian serta Sarikei termasuk Pakan dan Julau, sementara Sabah membabitkan kawasan Pedalaman seperti Keningau dan Tambunan serta Pantai Barat meliputi Ranau dan Kota Belud.

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” jelas MetMalaysia.

Agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu turut  menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada, merancang perjalanan lebih awal dan memantau perkembangan cuaca semasa bagi mengelakkan sebarang risiko sepanjang tempoh cuaca buruk ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast