KUALA LUMPUR – Tiga beranak termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut selepas dirempuh sebuah lori Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIM KL) di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 1 pagi itu, mangsa yang meninggal dunia di lokasi melibatkan seorang lelaki berusia 53 tahun merupakan bapa serta dua anak perempuannya masing-masing berusia 25 tahun dan 12 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan membabitkan sebuah lori Isuzu Black Maria tanpa muatan, dua kereta dan empat pejalan kaki.
“Siasatan awal mendapati, lori berkenaan dipandu lelaki tempatan berusia 43 tahun dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi mengambil Orang Kena Tahan (OKT) susulan operasi pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan berkenaan.
“Lori tersebut dipercayai telah memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah dalam keadaan lampu beacon dan siren diaktifkan.
“Pada masa sama, sebuah Proton Saga dipandu lelaki tempatan berusia 50 tahun sedang bergerak lurus melalui persimpangan berkenaan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna hijau.
“Kemudian pemandu Proton Saga dipercayai tidak sempat mengelak lalu berlaku perlanggaran dengan lori terbabit di tengah persimpangan dan akibat pelanggaran itu, lori berkenaan hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat pejalan kaki yang merupakan satu keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, lori terbabit turut melanggar sebuah kenderaan pebagai guna jenis Inokom Matrix yang dipandu lelaki berusia 38 tahun yang ketika itu berhenti di persimpangan lampu isyarat.
“Dalam nahas itu, tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi ahli keluarga mereka iaitu wanita berusia 55 tahun merupakan isteri kepada mangsa lelaki dan ibu kepada dua mangsa perempuan mengalami kecederaan.
“Mangsa mengalami kecederaan di kepala, tangan kanan serta kedua-dua kaki dan dihantar ke Zon Merah Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.
“Manakala ketiga-tiga pemandu kenderaan yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya.
Susulans kemalangan itu, polis telah menahan pemandu lori JIM KL dan pemandu Proton Saga bagi membantu siasatan.
“Hasil ujian pernafasan bagi mengesan kandungan alkohol serta saringan awal air kencing terhadap kedua-dua pemandu mendapati keputusan negatif.
“Polis turut menjalankan siasatan di lokasi kejadian, mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mengesan saksi bebas serta membawa kenderaan terbabit untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut,” katanya.
Mohd Zamzuri berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee ditalian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette
















