JOHOR BAHRU – Gara-gara terpedaya dengan pulangan pelaburan yang dijanjikan 30 sehingga 60 peratus sehari, seorang lelaki akhirnya terpaksa berputih mata apabila menanggung kerugian RM516,341 akibat diperdaya skim pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam menerima laporan berhubung kejadian yang menimpa mangsa berusia 56 tahun itu semalam.
“Mangsa yang tidak bekerja tertarik menyertai skim berkenaan iaitu pelaburan saham bagi perniagaan kasut dalam talian. Modus operandi sindiket ialah menjanjikan pulangan pelaburan yang tinggi.
“Mangsa yang tertarik dengan pulangan yang lumayan kemudian membuat 24 transaksi ke dalam 24 akaun bank berjumlah keseluruhan RM516,341 pada 3 Julai hingga 14 Ogos lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sumber wang adalah simpanan mangsa sendiri dan kemudian mangsa berasa tertipu kerana dalam tempoh pelaburan itu tidak pernah menerima sebarang keuntungan.
Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara satu tahun hingga 10 tahun dengan sebatan dan juga denda.
Pihaknya menasihatkan orang awam agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang pelaburan yang menjanjikan pulangan wang tinggi.
“Orang awam juga diminta agar sentiasa berhati-hati dan melakukan semakan terhadap sebarang pelaburan yang ditawarkan sebelum membuat sebarang pembayaran. Pastikan mendapatkan maklumat lengkap terhadap pelaburan tersebut dari sumber yang sah.
“Jika terdapat sebarang peluang pelaburan yang meragukan, laporkan kepada pihak berkuasa dengan kadar segera,” ujarnya.
Tambahnya, pihak polis mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berikut untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian iaitu semak kesahihan individu atau syarikat yang menawarkan pelaburan melalui Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Mohd Sohaimi juga mengingatkan agar mengelak daripada memberikan maklumat peribadi atau perbankan kepada pihak yang tidak dikenali.- MalaysiaGazette
















