Home Ekonomi Niaga hadapan KLCI diunjur mendatar

Niaga hadapan KLCI diunjur mendatar

KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka diniagakan mendatar minggu depan, menjejaki prestasi kadar asas pasaran tunai.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, indeks petunjuk pasaran dijangka diniagakan antara 1,630 dan 1,650 mata minggu depan, dipengaruhi oleh kekurangan pemangkin susulan musim cuti akhir tahun, selain pengumuman kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed).

“Kadar Fed yang naik sebanyak 25 mata asas kepada antara 0.50 peratus dan 0.75 peratus baru-baru ini telah memberi tekanan kepada pasaran ekuiti sedang pesat membangun dengan pembiayaan luar yang besar.

“Selain itu, pelabur pasaran saham turut tidak pasti mengenai dasar Presiden AS yang baharu, Donald Trump,” katanya kepada Bernama.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, Disember 2016 dan Mac 2017, masing-masing susut 0.5 mata kepada 1,635.5, Jun 2017 merosot 1.5 mata kepada 1,631.5 manakala Januari 2017 menokok satu mata kepada 1,639.

Jumlah dagangan pada minggu dagangan selama empat hari ini merosot kepada 18,270 lot daripada 24,123 lot pada minggu lepas dan kepentingan terbuka berkurangan kepada 35,366 kontrak daripada 36,071 kontrak.

Petunjuk pasaran FBM KLCI mengakhiri minggu ini dengan 3.63 mata lebih rendah pada 1,637.79 daripada 1,641.42 pada Jumaat lepas. Bursa Malaysia dan derivatifnya ditutup pada Isnin sempena cuti Maulidur Rasul. – MalaysiaGazette