Dong Zong

KAJANG – Walaupun kerajaan meluluskan pembinaan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) tetapi jumlah keseluruhan sekolah aliran itu telah berkurangan sebanyak 49 buah sejak 1970.

Statistik Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina (Dong Zong) yang dipetik Sinchew Daily menunjukkan sepanjang tempoh 46 tahun iaitu dari 1970 hingga 2016, jumlah murid SRJKC meningkat sebanyak 102,725 orang.

Jumlah SRJKC bagaimanapun menurun daripada 1,346 buah kepada 1,297 buah.

Sekolah Kebangsaan (SK) pula menunjukkan peningkatan daripada 4,277 buah pada 1970 kepada 5,877 buah pada 2016 iaitu bertambah sebanyak 1,600 buah.

Jumlah murid SK telah meningkat sebanyak 992,716 orang dalam tempoh tersebut.

Untuk Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), ia menurun daripada 5,877 buah kepada 524 buah dengan peningkatan murid sebanyak 4,065 orang.

Presiden Dongzong, Datuk Vincent Lau membidas kerajaan kerana menjadikan politik sebagai pertimbangan di mana tiada SRJKC baru dibina sejak 2008.

Katanya, keadaan itu turut menunjukkan kerajaan tidak ikhlas dalam soal pembinaan SRJKC.

Menurutnya, walaupun kerajaan membenarkan pemindahan SRJKC ke kawasan tumpuan penduduk, tetapi ia tidak harus disamakan dengan pembinaan sekolah baharu.