Walaupun berlatar belakangkan logo Parti Amanah Negara (PAN) dan memakai tag perwakilan Konvensyen Nasional, namun Pemuda PAN pusat mengakui tidak mengenali lelaki bernama Mohd Faiz.

Ini disahkan Naib Ketua Pemudanya, Shazni Munir Mohd Ithnin ketika ditanya mengenai tindakan lelaki itu menyiarkan status menghina Yang di-Pertuan Agong dalam laman sosial Facebooknya minggu lalu.

“Masalahnya, kami yang Pemuda ni pun tak kenal.

“Yang confirm ahli PAN, Faiz Fadzil (Timbalan Ketua Pemuda PAN pusat),” jawabnya ringkas menerusi aplikasi Whatsapp.

Bagaimanapun, beliau tidak menjawab soalan wartawan, adakah Mohd Faiz itu tidak ada kena mengena dengan PAN.

Menerusi status laman Facebooknya, Mohd Faiz dilaporkan telah menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dengan kata-kata,

“Tidak ada yg salahnya dgn menjadi seorang Agong yg rajin beribadah. Cuma nak cakap, kalau sekadar nak jadi ahli ibadah, letak saja jawatan Agong… jawatan Agong ada tanggungjawab horizontal, jawatan ahli ibadah ada tanggungjawab vertical… itu saja, yg hangpa kafirkan aku ni dah kenapa…”

Berikutan itu, laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multi Media (SKMM) dibuat oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan yang meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas Mohd Faiz.

Sementara itu, Sazni Munir dalam kenyataan berkaitan berkata, Pemuda PAN melahirkan kekaguman atas beberapa langkah baharu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung XV, Sultan Muhammad V yang tidak terikat dengan protokol rasmi istana dan bersahaja menunaikan solat berjemaah di beberapa masjid sekitar Lembah Kelang.

Ujar beliau, fenomena ‘ibadah first’ itu wajar menjadi teladan seluruh rakyat, khususnya pimpinan negara.

“Melihat kepada sifat ‘abid’ dan tawaduk Yang di-Pertuan Agong, Pemuda PAN yakin dan percaya baginda sangat tidak selesa dengan keadaan negara ketika ini.

“Apatah lagi Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebelum ini telah beberapa kali menegur risiko buruk yang bakal ditanggung negara jika ketirisan dan rasuah tidak ditegah dalam urustadbir kerajaan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Menurut Shazni Munir, Pemuda PAN mendoakan agar Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong terus dikurniakan kesihatan yang baik dan dipanjangkan umur untuk memimpin rakyat terbanyak. – MalaysiaGazette

Comments are closed.