Home Ekonomi Pengurangan bekalan minyak dunia jejas pendapatan negara

Pengurangan bekalan minyak dunia jejas pendapatan negara

KUALA LUMPUR – Perjanjian pengurangan bekalan minyak tahun depan yang dicapai oleh OPEC dan bukan OPEC akan mengurangkan pendapatan daripada hasil minyak Malaysia.

Meskipun begitu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, Malaysia telah pun mengurangkan kebergantungannya kepada pendapatan minyak.

Menurut beliau, pada tahun 2009, 41 peratus daripada pendapatan negara bergantung kepada industri minyak dan gas dan jumlah itu merosot kepada 14 peratus pada tahun lalu.

Beliau yang menyifatkan ia sebagai pencapaian luar biasa menjangkakan negara akan terus mengurangkan kebergantungan kepada sektor itu dalam tempoh tujuh tahun lagi.

“Kalau kita masih terus bergantung kepada pendapatan minyak dan gas, penyusutan ketara harga minyak mentah akan memberi kesan signifikan,” katanya selepas melancarkan 15th Malaysia Economic Monitor: The Quest for Productivity Growth oleh Bank Dunia.

Pada 10 Disember lalu, negara-negara bukan OPEC bersetuju mengurangkan 558,000 tong sehari untuk tempoh enam bulan mulai 1 Januari ini.

Persetujuan itu dicapai selepas OPEC bersetuju mengurangkan pengeluaran kepada 32.5 juta tong sehari daripada pengeluaran semasa sekitar 34.2 juta tong.

Beliau yang hadir dalam mesyuarat antara OPEC dan bukan OPEC di Vienna baru-baru ini menyifatkan perbincangan tujuh jam itu panjang dan sukar.

“Kita berada di sana kerana mahu memberi sokongan moral kepada negara-negara pengeluar minyak, memberi isyarat bahawa kita juga bersama-sama untuk memastikan harga minyak terus mampan,” katanya.

Bagi Malaysia, negara bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak 558,000 tong sehari.

Katanya, Petroliam Nasional Berhad akan mengumumkan angka tepat kuantum pengurangan oleh Malaysia. – MalaysiaGazette