Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Ismail

 

SELANGOR: UMNO Selangor mengingatkan ahlinya agar tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang, sebaliknya menyerahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian mengenai projek pembangunan yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Penerangannya, Datuk Zein Isma Ismail berkata, ada segelintir pembangkang telah mengakui kerja mereka ialah memfitnah apa sahaja yang dilaksanakan oleh BN dan pengakuan itu harus tersemat kukuh dalam diri setiap ahli UMNO untuk tidak terus mempercayainya.

Kata beliau, ketika ini pembangkang, terutama bekas Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli cuba mengelirukan rakyat dengan mendakwa projek Transit Aliran Massa (MRT) Fasa 1 laluan Sungai Buloh-Kajang yang dilancarkan Perdana Menteri minggu lalu melibatkan kos lima kali ganda daripada peruntukan asal.

“Ini semua bohong. Najib telah menyatakan kos projek itu hanya RM21 bilion, tetapi Rafizi mendakwa ia lebih RM100 bilion.

“Adakah kita sebagai ahli dan juga rakyat mahu percaya dakyah Ahli Parlimen Pandan ini? Ternyata sebelum ini pun, dia mengakui silap dalam mendedahkan fakta seperti yang berlaku pada Lembaga Tabung Haji tidak lama dahulu.

“Seeloknya, biar kita serahkan kepada rakyat untuk menilai baik buruk perangai pembangkang ini,” katanya kepada media di Bangunan UMNO Negeri di Shah Alam, semalam.

Zein Isma yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang memberitahu, kemenangan yang berpihak kepada UMNO dan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar di Selangor dan Kuala Kangsar di Perak Ogos lalu membuktikan rakyat membuat keputusan bijak.

Ujar beliau, walaupun UMNO dan BN berdepan dengan fitnah pembangkang yang hebat ketika itu, tetapi rakyat di dua kerusi Parlimen berkenaan telah membuat penilaian sendiri.

“Tidak cukup dengan memfitnah jumlah kos MRT, mereka tanam dakyah dengan mengatakan negara akan bangkrap, tetapi satu demi satu projek besar kerajaan berjalan dan hampir siap.

“Ini membuktikan kewangan negara kita masih berada pada tahap kukuh dan stabil serta masih mampu melaksanakan segala projek untuk rakyat yang dijanjikan sebelum ini,” katanya.

Katanya, jentera Penerangan UMNO Selangor giat turun padang untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai perancangan jangka panjang kerajaan.