Home Nasional Kandungan cecair nitrogen dalam makanan tidak bahaya

Kandungan cecair nitrogen dalam makanan tidak bahaya

Kandungan cecair nitrogen yang telah disejukkan ke suhu yang sangat rendah (-196°C) sehingga ia menjadi cecair dalam makanan adalah tidak berbahaya.

Cecair nitrogen digunakan dalam banyak aplikasi industri makanan seperti penyejukan serta-merta ais dan dalam pembuatan ais krim, juga digunakan dalam pembekuan serta-merta (flash freezing) makanan termasuk biskut untuk memberikan tekstur berkabus (fog like texture) yang mana ia menghasilkan novelty kepada pengguna apabila asap dihembus keluar semas makan.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, cecair nitrogen harus digunakan pada tahap yang bersesuaian bagi mencapai tujuan yang dimaksudkan, iaitu untuk membekukan produk.

Pada amnya, selepas pembekuan produk makanan, cecair nitrogen akan meruap dengan cepat menjadi gas dan tidak kekal di dalam produk makanan siap.

Oleh itu isu keselamatan makanan berhubung makanan yang dihasilkan atau disediakan menggunakan cecair nitrogen tidak timbul.

Namun, bagi tujuan keselamatan pengguna, pengeluar atau penyedia makanan yang menggunakan cecair nitrogen dalam produk makanan yang dihasilkan perlu memastikan cecair nitrogen dalam produk makanan tersebut telah meruap sepenuhnya sebelum dijual kepada pengguna untuk mengelakkan melecur (cryogenic burn) atau radang dingin (frostbite).

KKM berharap penyedia makanan dan pengguna mengambil perhatian ke atas perkara ini, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna.

Sekiranya pengguna merasa ragu-ragu dengan status keselamatan makanan yang terdapat di pasaran tempatan, pengguna boleh membuat laporan kepada Kementerian Kesihatan melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat atau melalui laman sesawang Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://fsq.moh.gov.my atau facebook BKKM. – MalaysiaGazette