Home Utama Permit perkhidmatan Eaglexpress dibatalkan

Permit perkhidmatan Eaglexpress dibatalkan

Pesawat Eaglexpress

KUALA LUMPUR – Mulai esok, Eagle Air Charter Sdn. Bhd. (Eaglexpress) tidak boleh lagi beroperasi selepas Permit Perkhidmatan Udara (ASP) syarikat penerbangan itu dibatalkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Dengan pembatalan itu, Eaglexpress tidak boleh beroperasi di udara atau menggunakan mana-mana pesawat bagi membawa penumpang, mel atau kargo untuk mendapat upah atau ganjaran dalam perjalanan yang tidak berjadual, domestik atau antarabangsa.

Jika syarikat penerbangan itu masih memberikan perkhidmatan tersebut, ia akan melakukan suatu kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771).

“Pembatalan ASP Eaglexpress Air Charter Sdn Bhd berkuat kuasa dari 21 Disember 2016,” kata Mavcom dalam satu kenyataan hari ini.

Eaglexpress menjadi tumpuan media selepas penerbangan umrah ke Jeddah yang dijadualkan pada 14 Disember lalu ditangguhkan dan kemudiannya dibatalkan tanpa sebarang alasan.

Masalah itu mengakibatkan harapan kira-kira 200 jemaah umrah untuk mengerjakan ibadah musnah.

Baca: Operasi Eaglexpress tidak digantung

Baca: NUFAM pelik mengapa pihak berkuasa tutup mata isu Eaglexpress

Mavcom memberitahu, Eaglexpress telah mendapat permit penerbangan selama setahun mulai 30 Ogos tahun ini dan perlu memenuhi spesifikasi tempoh yang ditetapkan tetapi gagal.

“Kita pernah menghantar surat tunjuk sebab kepada Eaglexpress dan telah mendapat maklum balas pada 14 Disember lalu. Namun penjelasan yang diberikan oleh Eaglexpress tidak memuaskan.

“Syarikat ini telah gagal menyediakan bukti kukuh bagi Mavcom untuk mempercayai ia dapat menyelesaikan semua kebimbangan yang dibangkitkan dan mematuhi syarat-syarat yang dikenakan,” kata Mavcom.

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Tan Sri Abdullah Ahmad berkata, industri penerbangan sungguh mencabar dan hanya pihak yang mengalaman mampu meneruskan operasi sendiri.

“Ini episod Eaglexpress Air Charter Sdn Bhd, juga Rayani Air harus menjadi petunjuk yang jelas kepada peserta industri berpotensi dan semasa yang mengendalikan syarikat penerbangan sewa atau jadual atau dijadualkan) bahawa industri ini amat mencabar dan memerlukan tahap yang tinggi dalam perancangan, kewangan, pengetahuan operasi dan pelaksanaan kompetensi untuk berjaya.

“Kami ingin menegaskan bahawa asas komersial yang teguh dan mendalam adalah prasyarat yang diperlukan untuk menjadi peserta dalam industri ini – tidak kira sama ada ia adalah ASP atau pemegang Lesen Perkhidmatan Udara (ASL). Suruhanjaya akan berusaha untuk memastikan hanya syarikat yang lengkap dan bersedia dibenarkan untuk menyertai industri ini,” tegas Abdullah. – MalaysiaGazette