Kementerian Luar hari ini mengesahkan bahawa tiada warganegara Malaysia terlibat dalam insiden rempuhan trak di Berlin, Jerman semalam.

Dalam kenyataannya, Wisma Putra turut menyatakan tiada rakyat negara ini yang terlibat dalam insiden serangan di stesen keretapi Zurich di Switzerland pada hari yang sama.

Laporan menyebut bahawa seorang pemandu treler traktor telah merempuh Christmas Market di Breitscheidplatz Square, Kurfuerstendamm Avenue barat Berlin, Jerman, pada malam Isnin.

Kejadian itu telah mengakibatkan 12 orang terkorban dan lebih kurang 50 lagi cedera.

Suspek yang dipercayai pemandu lori tersebut, telah ditahan berhampiran tempat kejadian.

“Manakala serangan di Eisgasse 6, berdekatan stesen keretapi sentral Zurich, disyaki dilakukan seorang penyerang yang tidak diketahui identitinya.

“Ia menyebabkan tiga orang tercedera termasuk dua daripadanya parah.

“Mayat seorang lelaki telah ditemui kira-kira 500 meter dari Pusat Islam berkenaan di mana identiti dan punca kematian masih belum dipastikan oleh pihak berkuasa dan mayat dan serangan sedang disiasat,” sebut kenyataan itu.

Kedutaan Besar Malaysia di Berlin dan Konsulat Jeneral Malaysia di Frankfurt serta di Berne, Switzerland sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan.

Kedua-dua kedutaan itu memberi maklumat terkini dan segera kepada komuniti Malaysia di sekitar Berlin dan Berne berhubung kejadian tersebut.

Kementerian Luar merakamkan ucapan takziah kepada seluruh anggota keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden ini. – MalaysiaGazette