Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak berharap persatuan bola sepak negeri-negeri mencari jalan mengatasi masalah kewangan yang mereka hadapi.

Perdana menteri bimbang bila mendapat tahu persatuan-persatuan itu termasuk Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mahu menarik diri daripada Liga Malaysia 2017 kerana masalah kewangan.

“Saya harap Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan juga negeri-negeri lain yang terbabit mencari jalan mengatasi masalah kewangan ini,” katanya dalam catatan di laman Facebook dan Twitternya hari ini.

Beliau berkata bola sepak adalah sukan rakyat nombor 1 dalam negara, maka penting untuk semua yang terlibat dengan bola sepak negara, memastikan sukan ini terus berkembang maju.

“Kita tidak boleh menghampakan berjuta peminat bola sepak negara ini terutamanya generasi muda.

“Insya-Allah, dengan adanya persepakatan yang baik serta keikhlasan semua pihak, kita akan dapat mencari jalan keluar daripada masalah ini,” kata Najib.

Mengenai KAFA, perdana menteri berkata beliau difahamkan masalah timbul berikutan peletakan jawatan Tan Sri Annuar Musa sebagai Presiden bulan lepas.

Najib telah meminta Annuar membantu persatuan itu agar tidak menghampakan harapan ribuan peminat The Red Warriors.

Pada 16 Dis lepas, dilaporkan KAFA berhasrat menarik diri kerana tidak mampu menyediakan dana yang mencukupi untuk pengurusan skuad Kelantan dalam menghadapi saingan Liga-M musim 2017.

Selain kemelut penajaan, KAFA juga menghadapi masalah ketiadaan presiden baharu bagi menggantikan Annuar.

Semalam, Persatuan Bola Sepak Selangor turut mengancam untuk mengambil tindakan serupa kerana gagal mencari dana bagi menampung perbelanjaan pasukan Red Giants. Perlis juga telah menyatakan hasrat menarik diri.

— BERNAMA