Kehadiran Abdul Hadi Awang ke Teheran menjadi isu sejak kebelakangan ini.

Penglibatan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Muktamar Tahunan Perpaduan Ummah keli ke-30 di Teheran minggu lalu adalah mewakili parti itu.

Menurut Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat, Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, kehadiran Abdul Hadi adalah kali kedua dan beliau sebagai pengiring kepada Ahli Parlimen Marang itu untuk muktamar tahun lepas.

Katanya, Pas mempunyai pendirian politik tersendiri dalam forum antarabangsa, termasuk krisis di Timur Tengah dan yang melibatkan Syria, Yaman, Iraq serta Palestin.

“Kita tidak akan akur atau tunduk kepada sebarang kepentingan mana-mana pihak yang melakukan kezaliman dan penindasan, malah Pas sentiasa bersuara lantang serta bersemuka dengan golongan berkenaan.

“Pendirian kita ialah bersatu hati dengan seluruh umat Islam menentang sebarang bentuk kezaliman, pencerobohan hak asasi manusia dan pembunuhan yang menumpahkan darah golongan tidak berdosa dalam kalangan umat Islam serta bukan Islam.

“Pas bertegas, apa yang berlaku di Syria adalah mangsa peperangan proksi yang bertujuan merobekkan kesatuan ummah dan penguasaan oleh kuasa asing di kawasan bergolak,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Pemergian Abdul Hadi itu bukan sahaja disindir bekas Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainal Abidin, malah pemimpin tertinggi Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) juga dikatakan turut menempelak Presiden Pas itu.

Menurut Mohd Khairuddin, Pas lebih menekankan kepentingan kesatuan saf umat Islam dan penyelesaian krisis menerusi rundingan bagi mengelakkan darah terus mengalir dan banyak nyawa hilang, selain menolak sebarang penyelesaian tajaan asing.

“Kuasa asing itulah di belakang tabir kumpulan pengganas dengan membiayai sumber kewangan yang besar dan senjata pemusnah seumpama ISIS yang merosakkan nama baik Islam.

“Sedang Pas banyak kali menegaskan, peperangan dan krisis di Timur Tengah tidak lain dan tidak bukan adalah untuk kepentingan kuasa asing serta rejim zionis.

“Mereka menyalakan api persengketaan antara puak agar umat Islam terus bertelingkah dan berperang sehingga menumpahkan darah dan berkrisis tanpa henti,” jelasnya. – MalaysiaGazette