Home Ekonomi PNB sokong penstrukturan UMW Holdings

PNB sokong penstrukturan UMW Holdings

Presiden dan Ketua Pegawai Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad bercakap semasa pengumuman pengagihan pendapatan ASB dan ASN pada sidang media di Menara PNB, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 22 DISEMBER 2016

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) bersikap terbuka jika ada cadangan penstrukturan dalam UMW Holdings Berhad, yang kini mengalami prestasi buruk dalam pasaran saham dengan kejatuhan sebanyak 39.8 peratus.

Penyusutan prestasi UMW Holdings itu sudah pasti memberi kesan kepada PNB selaku pelabur terbesar dengan penguasaan sebanyak 58.09 peratus. PNB adalah pelabur terbesar UMW Holdings sejak tahun 1987.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Rahman Ahmad percaya pendekatan itu mampu membantu UMW Holdings memperbaiki prestasi dan memastikan kelangsungan UMW Holdings.

Katanya, cadangan penyatuan syarikat-syarikat minyak itu bukan baru kerana ia pernah dikemukakan oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) ketika sektor minyak dan gas berhadapan dengan keadaan mencabar.

Bagaimanapun, Abdul Rahman mengakui ia bukan mudah, oleh sebab itu masih belum ada syarikat yang melakukan konsolidasi.

“Tetapi kalau cadangan atau tawaran, PNB akan menyokong jika ia munasabah dan mewujudkan skala serta kepelbagaian,” katanya pada sidang media pengumuman pengagihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Nasional.

Pada ketika ini, beliau menambah, PNB secara berterusan terlibat bersama Lembaga Pengarah dan pengurusan bagi memperbaiki prestasi organisasi itu.

Menurut beliau, saham UMW Holdings berada dalam prestasi mencabar kerana perniagaannya terlibat secara langsung dalam sektor minyak dan gas serta automotif,

“Selain perniagaan teras dalam sektor minyak dan gas, UMW Holdings juga melabur dalam sektor itu. Faktor ini memberi kesan ketara kepada sahamnya memandangan sektor industri itu sudah merudum sejak dua tahun lalu.

“Penyusutan dalam jualan Toyota disebabkan permintaan yang lemah turut menjejaskan prestasi saham syarikat itu, walaupun jualan Perodua baik,” katanya.

UMW yang terlibat dalam perniagaan automotif, perkakasan, minyak dan gas, mekanikal dan kejuruteraan mempunyai modal pasaran sebanyak RM6.07 bilion.

Penyumbang utama terbesar UMW Holdings adalah sektor automotif kira-kira 74 peratus tetapi terjejas sejak dua tahun lalu disebabkan penyusutan ringgit dan pengukuhan yen.

Pada suku kedua berakhir 30 Jun lalu, UMW Holdings merekodkan kerugian RM12.12 juta berbanding keuntungan bersih RM4.45 juta, dipacu oleh segmen minyak dan gas yang terjejas oleh penurunan penggunaan aset dan kadar sewa yang rendah. – MalaysiaGazette