Ratu Naga disimbah air berwarna merah selepas menghantar air ke rumah Datuk Seri Jamal Md. Yunos di Ampang hari ini.

Tindakan seorang blogger pro pembangkang ‘membalas’ tindakan Datuk Seri Jamal Md. dengan membawa sebotol air ke rumah Presiden Gabungan NGO Malaysia akhirnya memakan diri.

Ratu Naga yang hadir rumah Jamal di Ampang itu bagaimanapun disimbah air bewarna merah, telur dan tepung oleh sekumpulan pengikut Jamal.

Keadaan itu menyebabkan berlaku kekecohan dan akhirnya Ratu Naga beredar dan akan membuat laporan polis atas alasan dipukul dan disimbah air.

Sebelum itu, Ratu Naga mendakwa dia menghantar air ke rumah Jamal mewakili Pertubuhan Sinar Ehsan dan Kelab LLLM Malaysia ekoran dakwaan Jamal tidak mandi selama empat hari.

Ia ekoran tindakan Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar yang protes kerana ketiadaan air sambil memakai tuala di depan Bangunan SUK Selangor semalam.

Ratu Naga juga bercadang untuk membuat sidang media di rumah Jamal tetapi akhirnya dibatalkan selepas disimbah air dan memaklumkan sidang media diadakan di pejabat PKR Ampang pula selepas itu.

Sementara itu, Jamal berkata, kehadiran Ratu Naga untuk ‘membersihkannya’ bersama sebotol air jelas memerlinya dan menganggap dia wajar ‘dimandikan’.

“Saya ingat dia (Ratu Naga) dayang bawa treler air tapi datang berdua bawa sebotol air dengan tujuan menyindir saya. Sudah lima hari kawasan sini tidak ada air dan saya nasihatkan geng PKR jangan bermain politik semata-mata.

“Berhari-hari tidak ada air jangan dibuat lawak jenaka. Dia (Ratu Naga) datang tidak bawa air itu sebab diorang dimandikan hari ini. Saya anggap ia perbuatan keji dan sepatutnya pimpinan PKR datang cari jalan menangani masalah air,” ujarnya.–MalaysiaGazette