Abdullah Mat Yasim

Rakyat miskin yang memerlukan bantuan untuk persiapan persekolahan anak boleh merujuk kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen kawasan mereka, bukan meminta daripada pemimpin UMNO yang bukan bertaraf wakil rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Senator Datuk Abdullah Mat Yasim berkata, beliau kesian melihat rakyat miskin di kawasan itu, setiap kali tiba musim persekolahan mencari pemimpin UMNO di bahagian untuk mendapatkan bantuan.

Sedangkan, kata beliau, setiap kawasan DUN dan Parlimen telah ada wakil rakyat masing-masing yang sedia berkhidmat kepada penduduknya.

“Kesian rakyat, dekat nak buka sekolah pakat cari Ketua Bahagian nak minta peruntukan nak beli peralatan sekolah anak nak belajar. Kenapa mereka tidak cari wakil rakyat?

“Di Parlimen Rantau Panjang ini, wakil rakyatnya Siti Zailah Mohd Yusof dari Pas. Dia diamanahkan menjaga kebajikan dan kepentingan masyarakat.

“Tapi, Ketua Bahagian pula kena jaga rakyat. Kalau macam tu, dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) nanti, beri kemenangan kepada sayalah sebagai wakil rakyat, mudah saya bantu,” katanya.

Beliau dengan nada kecewa memberitahu, wakil rakyat Parlimen itu sebenarnya mempunyai peruntukan yang mencukupi untuk membantu golongan memerlukan, tetapi mereka sentiasa mengelak daripada berjumpa rakyat.

Sehubungan itu, Abdullah berharap, rakyat di Parlimen Rantau Panjang membuat keputusan yang bijak pada PRU akan datang dengan memilih calon dari UMNO dan Barisan Nasional (BN) jika mahu kehidupan mereka terbela.