Hafsah Hashim

Sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berjaya mengekalkan prestasi kukuh pada 2016 selepas berjaya mengharungi ketidaktentuan ekonomi global dan akan terus memberi sumbangan secara positif kepada ekonomi negara pada masa depan.

Tulang belakang negara yang merupakan 97.3 peratus syarikat perniagaan dalam sektor seperti hartanah, perkhidmatan, pembuatan, pembinaan dan pertanian menghadapi cabaran, terutama disebabkan kejatuhan harga minyak yang mengakibatkan penyusutan ringgit.

“Sudah pastinya ya, kejatuhan harga minyak dan penyusutan ringgit adalah antara cabaran utama yang menjejaskan PKS kita tahun ini, terutama kepada mereka yang mengeksport produk dan perkhidmatan mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp), Datuk Hafsah Hashim kepada Bernama.

PKS yang terjejas teruk adalah mereka yang terlibat dalam hartanah serta minyak dan gas manakala mereka yang terbabit dalam perladangan mendapat manfaat daripada penyusutan ringgit, yang membantu meningkatkan eksport.

Beberapa PKS telah meilih untuk mengurangkan operasi perniagaan mereka berikutan kekurangan tenaga kerja asing.

Bagaimanapun, keadaan itu kekal sementara dan sektor pembuatan adalah antara PKS yang dijangka terjejas.

Ketika ini, sumbangan PKS kepada eksport negara adalah antara 16 hingga 18 peratus dan matlamatnya adalah meningkatkannya kepada antara 20 hingga 23 peratus menjelang 2020, terutama dipacu e-dagang.

Untuk melakukanhya, beberapa inisiatif telah dirancang bagi membantu PKS mempromosi produk dan perkhidmatan mereka di peringkat antarabangsa dan tempatan.

Hafsah berkata, SME Corp yang telah ditugaskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industi untuk menyelaras dan melaksana pelbagai program pembangunan PKS, telah menyediakan program dan aktiviti bagi memantau PKS sepanjang tahun itu.

Sebahagian program dan aktiviti disertai dengan insentif serta geran yang diperuntukkan kerajaan.

Pada 2016, kerajaan melalui SME Corp telah melaksanakan 152 programm (2015:125) termasuk bantuan dan insentif yang memanfaatkan 484,216 PKS dengan komitmen kewangan sebanyak RM7.34 bilion.

Untuk PKS Bumiputera SMEs, peruntukan sebanyak RM9 juta di bawah program Usahawan Belia Bumiputera (TUBE 3.0) yang diperkenal pada 2014 telah menarik penyertaan 943 Bumiputera dari seluruh negara.

Dilaporkan 99.2 peratus atau 936 daripada mereka telah berjaya memulakan perniagaan dengan jumlah aset dijana daripada Januari 2015 hingga September 2016 mencecah RM23.5 juta.

“SME Corp akan teus mengkaji bagaimana kami akan terus membantu syarikat terbabit agar mereka terus memperoleh keuntungan dan mampan,” kata Hafsah.

Awal tahun ini, PKS telah digesa agar bersedia untuk bersaing dengan syarikat antarabangsa berikutan pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dijangka pada 2018.

Presiden Persatuan PKS Malaysia, Michael Kang Hua Keong dilaporkan berkata, perjanjian itu jika ditandatangani akan memaksa 30 peratus syarikat untuk gulung tikar.

“Perdagangan bebas sebagaimana dipromosi TPPA adalah baik untuk negara kerana ia akan memberi akses pasaran lebih luas dan menggalakkan syarikat kita meningkatkan produk dan perkhidmatan mereka.

“Kebanyakan syarikat masih tidak bersedia memasuki pasaran 820 juta penduduk itu,” katanya dengan menambah hanya kira-kira 19 peratus atau 123,000 PKS di negara ini terlibat dalam eksport dan 81 peratus lagi terlibat dalam perniagaan tempatan.

Bagaimanapun, PKS kini boleh menarik nafas lega kerana pakatan perdagangan terbesar dunia itu ditangguhkan berikutan Donald Trump, iaitu Presiden AS yang baru dipilih, dikatakan menentang perjanjian perdagangan tersebut.

TPP melibatkan 12 negara, iaitu AS, Jepun, Malaysia, Vietnam, Singapura, Brunei, Australia, New Zealand, Kanada, Mexico, Chile dan Peru.

Selain itu, PKS juga telah digesa memanfaatkan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau yang diketuai China dan Komuniti Ekonomi ASEAN yang ditubuhkan pada 2015 bagi mengembangkan perniagaan mereka.

Sementara itu, laporan kajian percukaian PKS 2016 oleh Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian China Malaysia berkata, cukai barang dan perkhidmatan (GST) telah meningkatkan kos perniagaan kecil.

Kajian itu mendapati kebanyakan PKS mencatat kos kewangan lebih tinggi setahun selepas pelaksanaan GST, iaitu pada April 2015.

Di sebalik semua itu, Hafsah berkata, pertumbuhan industri PKS berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK) sering berada antara satu dan dua peratus lebih tinggi.

“Pada 2016 kami menjangka KDNK negara akan berkembang kira-kira 4.5 peratus dan kami menjangka untuk melihat pertumbuhan PKS berada pada 5.5 peratus.

“Anda akan melihat sumbangan sektor PKS untuk 2016 akan memurata antara 37 hingga 37.5 peratus (kepada KDNK) berbanding 36.3 peratus dicatat pada 2015 (RM42 bilion),” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Dzulkifli Mahmud berkata, agensi kerajaan itu telah menjalankan 90 program pada 2016 termasuk eTRADE, bagi meningkatkan eksport PKS dengan menyertai e-pasaran antarabangsa terkemuka.

“Kami juga menganjurkan Program Going Export atau GoEx bagi mengenal pasti, memupuk dan membangunkan PKS agar menjadi lebih kompetitif di arena antarabangsa.

“Selain iu, kami juga mengadakan misi dagangan perdagangan, misi peningkatan eksport bagi membantu PKS menembusi pasaran seberang laut,” katanya dengan menambah MATRADE juga melibatkan PKS dengan bank bagi mengurangkan risiko mereka beroperasi di luar negara.

Dzulkifli berkata, untuk tahun depan, PKS dijangka menghadapi beberapa cabaran luaran dan dalaman ketika agensi penggalakan perdagangan negara itu akan terus merancang idea baharu dan kreatif bagi membantu mereka.

“Pelbagai parameter dan platform disediakan kerajaan bagi membantu PKS,” tambahnya.

Hafsah menggesa PKS untuk kekal kompetitif bagi mengharungi pelbagai cabaran pada 2017.

“Terdapat beberapa ketidaktentuan, tetapi kecil dan syarikat akan mampu menyesuaikan diri kepadanya..dan sebaliknya mereka perlu mengambil peluang daripada pengurangan cukai korporat dan merebut pelbagai insentif yang disediakan untuk mereka,” katanya dengan menambah 2017 akan menjadi Tahun Syarikat Baru Bermula dan Promosi PKS.

Bajet 2017 bertema “Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Perbelanjaan Bijak Terangkum, Kesejahteraan Rakyat’ juga memberi penekanan ke atas ekonomi digital, iaitu sesuatu yang PKS perlu beri perhatian.

Bajet itu melihat kepada pembangunan jangka panjang serta keperluan jangka pendek PKS bagi mengurangkan kesan cabaran ekonomi semasa.

Peruntukan RM6.7 bilion (Bajet 2016:RM9.5 bilion) telah diperuntukkan bagi pembangunan PKS yang akan dilaksana oleh pelbagai kementerian serta agensi.

Melalui senarai objektif bajet kerajaan, SME Corp berkata, adalah penting untuk PKS untuk muncul dalam talian kerana ia akan menggalakkan pengantarabangsaan. – Bernama