Datuk Seri Mahdzir Khalid

PETALING JAYA – Peruntukan sebanyak RM50 juta yang diperuntukkan kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) melalui Bajet 2016 tidak boleh dipotong walaupun satu sen.

Sinchew Daily melaporkan bahawa Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) dan sekolah mubaligh telah bersetuju menerima peruntukan RM16.5 juta walaupun jumlah itu adalah satu pertiga daripada RM50 juta yang dijanjikan dalam Bajet 2016.

Walaupun tahun 2016 bakal berakhir tidak lama lagi, SRJKC belum menerima apa-apa daripada RM50 juta yang diumumkan dalam Bajet 2016.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid sebelum ini membayangkan bahawa pihaknya tidak dapat menyediakan RM50 juta kepada SRJKC, tetapi jumlah yang lebih kecil akan disediakan.

Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani ketika dihubungi bagaimanapun berkata, pihaknya telah menyalurkan peruntukan mengikut Bajet 2016 kepada Kementerian Pendidikan.

Beliau juga mengingatkan Kementerian Pendidikan supaya tidak memungkiri janji kerajaan yang dibuat melalui Bajet 2016.

Menurutnya, walaupun peruntukan untuk agensi tertentu dipotong dalam pengumuman khas Perdana Menteri pada awal tahun selari dengan kejatuhan harga minyak dunia, tetapi peruntukan untuk Kementerian Pendidikan tidak menerima tempiasnya.

“Tidak, Kementerian Kewangan tidak memotong peruntukan untuk Kementerian Pendidikan.

“Jika peruntukan Kementerian Pendidikan tidak diselaras, maka mereka harus mengagih mengikut rancangan asal.

“Kerajaan berjanji sediakan RM50 juta kepada SRJKC, maka Kementerian Pendidikan harus sediakan jumlah ini,” kata Johari.

Katanya lagi, Kementerian Pendidikan harus memberi penjelasan kepada sekolah berkenaan jika gagal menyediakan peruntukan.

Menurutnya, dakwaan bahawa Kementerian Kewangan tidak menyediakan peruntukan adalah tidak tepat.

Dalam pada itu, sumber daripada MCA memberitahu, usaha sedang dijalankan bagi memastikan SRJKC menerima peruntukan yang dijanjikan iaitu RM50 juta.

“Pendirian MCA adalah satu sen pun tidak boleh dikurangkan,” katanya.

Sumber yang biasa dengan Kementerian Pendidikan juga berpendapat SRJKC tidak harus menerima sebahagian daripada peruntukan yang diumumkan kerana ia dikhuatiri akan menjadi amalan biasa pada masa depan.