KUALA LUMPUR – Satu cadangan terbaharu sedang dipertimbangkan yang mana ketua-ketua pegawai kewangan (CFO) dalam syarikat-syarikat yang mempunyai kepentingan awam di negara ini perlu mendaftar dengan sebuah badan regulatori baharu untuk mempertingkatkan profesionalisme sektor berkenaan.

Presiden Institut Akauntan Malaysia (MIA), Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, badan regulatori baharu itu yang dicadangkan untuk ditubuhkan oleh Jawatankuasa bagi Memperkukuh Profesion Akauntan (CSAP) akan membantu memantau CFO-CFO dan memberi cadangan sesuai kepada golongan tersebut apabila diperlukan.

Penubuhan badan tersebut adalah sebahagian daripada 15 cadangan dalam laporan Memperkukuhkan Profesion Akauntan di Malaysia yang disediakan oleh CSAP.

Menurut beliau, langkah tersebut adalah sejajar dengan pelaksanaan Standard Laporan Kewangan Antarabangsa yang diguna pakai di negara ini ketika ini yang meminta penggunaan standard perakaunan global kompleks yang konsisten.

“Kami sedar Malaysia agak lambat menjadikan CFO seseorang yang dipertanggungjawabkan sebagaimana di kebanyakan negara lain di rantau ini yang mana mereka telah mengambil langkah jauh kehadapan,” katanya kepada Bernama.

Menyentuh mengenai situasi semasa di Malaysia, Mohammad Faiz berkata, walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) menetapkan kriteria tegas kepada CFO di dalam industri perbankan, perkara itu tidak dilaksanakan di sektor-sektor lain.

Pelaksanaan jawatankuasa laporan akan mengambil kesemua 15 cadangan dan melakukan draf sehingga menjadi satu akta.

Cadangan untuk menjadikan pendaftaran CFO sebagai satu mandatory akan terkandung dalam draf akta yang akan diserahkan oleh CSAP kepada Suruhanjaya Sekuriti pada akhir tahun ini untuk kelulusan.

“Jadi pada tahun depan, kita boleh mula bercakap untuk membawa akta tersebut ke Parlimen,” katanya.- Bernama