Khalid Abu Bakar menyaksikan penyerahan kuasa dan penyampaian watikah jawatan antara Pesuruhjaya Polis Datuk Seri Jalaluddin Abdul Rahman (kiri) kepadaPengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard yang baru, Pesuruhjaya Polis Datuk Abdul Ghafar Rajab di Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 27 DISEMBER 2016.

Polis sedang memburu beberapa orang suspek yang masih bebas dalam kejadian seorang anggota polis berpangkat konstabel cedera ditikam di perut dengan objek tajam dipercayai kerampit.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis sedang menyiasat punca kejadian itu dan pada masa sama tidak menolak berkemungkinan tersilap sasaran.

“Keadaan anggota polis stabil dan kita doakan dia cepat sembuh.

“Suspek sudah ditahan reman dan ada yang masih belum ditangkap, kita kenal semua suspek itu dan sedang diburu dan usaha pencarian dipergiatkan lagi,” katanya kepada pemberita di Bukit Aman di sini.

Terdahulu, beliau bersama Timbalannya Tan Sri Noor Rashid Ibrahim menyempurnakan majlis Pemakaian Pangkat kepada 11 Pegawa Kanan di Mess Pegawai Kanan, Bukit Aman.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi semalam seorang anggota polis berusia 26 tahun cedera di perut dan kini sedang menjalani rawatan di Hospital Selayang.

Dua suspek itu direman sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan, menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad.

Kejadian disyaki berlaku selepas mangsa membuat pesanan roti canai dengan suspek yang disangkanya pekerja restoran berkenaan.

Difahamkan semasa beredar dari restoran berkenaan, suspek menunjukkan isyarat lucah ke arah mangsa sebelum mangsa yang bertugas di Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman mengejar suspek sebelum bergaduh dan ditikam. – MalaysiaGazette