Dua anggota Penguatkuasaan Maritim Malaysia meninjau lokasi mencari dua remaja yang dikhuatiri lemas di pesisir pantai Tok Bali, Kelantan.

PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggunakan sebuah helikopter untuk mengesan dua remaja yang masih hilang dikhuatiri lemas sejak Ahad lepas di Pantai Tok Bali di sini.

Pengarah APMM Daerah Maritim 10 Tok Bali, Kapten Nurul Hizam Zakaria berkata, penggunaan helikopter dalam operasi mencari itu diharap dapat menemui kedua-dua remaja terbabit.

“Sebelum ini (sejak Ahad lepas), usaha mengesan kedua-dua remaja itu melalui laut dan pesisir pantai Tok Bali-Bachok-Kuala Besut, Terengganu, siang dan malam gagal menemui mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini, Rabu.

Dalam kejadian pukul 4.13 petang itu, dua remaja dikenali sebagai Ahmad Haziem Anizam, 14, dan rakannya, Amir Azfa Rafar, 13, masing-masing dari Selising di sini, dikhuatiri lemas ketika sedang mandi di Pantai Tok Bali.

Dua rakan mereka Muhammad Firdaus Mustafa, 16, dari Kampung Taweh, Gaal di sini, dan Amir Shahir Zakima, 13, dari Kampung Nering di sini, sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai.

Kesemua mereka datang ke pantai itu untuk berkelah dan mandi-manda sebelum kejadian itu berlaku berikutan ombak besar.

Nurul Hizam berkata, mulai pukul 9 pagi tadi, pesawat berkenaan membuat tinjauan udara di kawasan 30 batu nautika ke utara dan 20 batu nautika ke timur perairan Tok Bali.

Katanya, usaha mencari kedua-dua remaja itu agak sukar berikutan laut bergelora dengan ombak besar sehingga mencecah 1.5 meter akibat musim tengkujuh sekarang.

Beliau berkata operasi mencari menerusi darat dan laut terus dipergiatkan dengan menambah bilangan anggota daripada 140 orang semalam kepada hampir 200 anggota hari ini melibatkan pelbagai jabatan kerajaan dan nelayan.

Operasi itu turut menggunakan sebuah kapal, enam bot dan dua jetski. – Bernama